Fokus isi agenda kemenangan, kestabilan kerajaan, kata Salahudin

Fokus isi agenda kemenangan, kestabilan kerajaan, kata Salahudin

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Haji Ayub berkata, beliau tidak dapat untuk menzahirkan dengan kata-kata berapa besarnya komitmen, sumbangan serta pengorbanan semua yang membantu beliau dalam pilihan raya umum pada kali ini.

Hanya Allah SWT sahaja yang membalas segala kebaikan mereka semua, kata beliau.

“Saya juga sedar ramai yang kecewa kenapa saya tidak dilantik sebagai Menteri Besar Johor.

“Semua harus faham bahawa perlantikan jawatan Menteri Besar adalah tertakluk kepada apa yang tercatat di dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri Johor.

“Keputusan telah dibuat dan semua pihak seharusnya menghormatinya demi memastikan kestabilan kerajaan dan semangat permuafakatan dalam Pakatan Harapan,” kata Naib Presiden PH itu dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Salahuddin, masih banyak ruang yang beliau boleh berperanan selepas ini di Johor.

Apa yang penting katanya, kita mesti menunaikan tanggung jawab besar di atas mandat yang telah rakyat berikan kepada kita.

“Buat rakan saya YAB Datuk Osman Sapian, saya mengucapkan tahniah dan syabas di atas perlantikannya sebagai Menteri Besar Johor ke 16.

“Saya akan senantiasa membantu YAB Datuk dengan segala kemampuan yang ada bagi memastikan kepercayaan rakyat dapat diterjemahkan dengan penampilan tadbirurus yang baik dan berkesan,” tambahnya.

Beliau menyeru semua pihak memberikan fokus kepada agenda mengisi kemenangan.

Rakyat ujarnya, sedang memerhati kita untuk menunaikan segala janji dan manifesto kita untuk membawa rakyat Johor kepada kualiti hidup yang lebih baik di bawah kerajaan baru, Kerajaan PH Johor.

6.0
OVERALL SCORE
: 9.0
2 user votes x 4.5
CATEGORIES
TAGS