Fokus satukan persamaan di kalangan parti-parti pembangkang, elak ketaksuban

Fokus satukan persamaan di kalangan parti-parti pembangkang, elak ketaksuban

Saya menyambut baik kenyataan media oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahukan semua parti pembangkang menyatukan kembali dan memperkukuhkan perpaduan dan menghentikan serangan sesama sendiri.

Saya bersetuju dengan kenyataan Tuan Ibrahim bahawa kita harus fokus dan menyatukan banyak persamaan di kalangan parti-parti pembangkang berbanding ketaksuban terhadap perbezaan yang muncul.

Kenyataan ini mencerminkan ketokohan Timbalan Presiden PAS sebagai seorang pemimpin politik yang matang dan berpengalaman serta memiliki visi yang jauh dengan meletakkan kepentingan negara dan rakyat melebihi kepentingan kepartian.

Pendirian baru yang dikemukakan oleh PAS memberikan harapan kepada rakyat Malaysia yang mahukan perubahan dalam negara yang tidak mungkin dicapai tanpa perpaduan yang utuh dikalangan semua parti pembangkang.

Sejarah membuktikan bahawa melalui perpaduan yang utuh dan berpegang kepada dasar bersama di kalangan parti-parti pembangkang, kita telah berjaya menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional (BN) di Parlimen 2 kali berturut-turut dan memperolehi majoriti undi popular dalam Pilihan Raya Umum ke 13.

Sebaliknya, perpecahan sesama pembangkang hanya akan menguntungkan UMNO-BN sebagaimana yang terbukti dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak, Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini. Kita harus insaf bahawa perjuangan kita yang sebenar adalah untuk menyelamatkan Malaysia dan musuh kita yang sebenar adalah UMNO-BN.

KEADILAN tuntas dalam membawa politik nilai secara inklusif dan mengekalkan perpaduan di kalangan parti-parti pembangkang melalui Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan termasuk tahaluf siyasi bersama PAS. KEADILAN tidak pernah berganjak daripada memperjuangkan agenda reformasi dengan menjamin prinsip keadilan, tatakelola yang baik dan menentang sebarang bentuk ketidakadilan dan rasuah.

Akibat kecurangan pengurusan ekonomi negara dan budaya politik yang durjana oleh UMNO-BN, saya yakin pimpinan parti pembangkang menyedari bahawa rakyat sedang menuntut satu sistem yang telus dan mengharapkan kepimpinan untuk merealisasikan aspirasi rakyat.

Susulan itu, KEADILAN bersedia menyediakan ruang perbincangan meja bulat dikalangan semua parti-parti pembangkang, NGO dan individu-individu yang komited kepada agenda perubahan dalam masa terdekat.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI adalah Timbalan Presiden PKR