Malaysia Dateline

Fokus sektor pengangkutan awam, selesai masalah berbangkit di ibu kota

Sektor pengangkutan awam melalui perubahan yang besar pada awal 2019 apabila menjadi satu daripada bidang sasaran utama yang dikenal pasti oleh Kementerian Wilayah Persekutuan untuk diperbaharukan bagi menangani kesesakan lalu lintas dan kepadatan pembangunan di sekitar Kuala Lumpur.

Menterinya, Khalid Abdul Samad, berkata, dengan pengambilalihan perkhidmatan Bas Percuma Go KL, ia dapat memberi manfaat kepada warga kota terutama di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Beliau berkata, perkara tersebut bertepatan dengan dasar ‘Wilayah Peduli Harapan Dipenuhi’ yang bepaksikan enam teras dimana teras ketiga menekankan tentang soal pengangkutan.

“Untuk atasi kesesakan lalu lintas, maka pengangkutan awam perlu diberikan keutamaan. Apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan, adalah dengan pembinaan sistem transit aliran ringan (LRT) dan MRT.

“Setelah kita ambil alih perkhidmatan Go KL, empat laluan last-mile yang dahulunya hanya berjalan di sekitar pusat bandar, kita tambahkan pula tiga lagi laluan dalam menghubungkan kawasan perumahan dengan stesen tren berdekatan.

“Daripada Kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan kawasan penempatan yang ramai, kita beri perkhidmatan kepada mereka menaiki bas percuma ke stesen keretapi LRT, MRT, dan KTM,” katanya dalam Bicara Naratif, pencapaian Kementerian Wilayah Persekutuan tahun 2019 di TV1 malam tadi.

Tambah Ahli Parlimen Shah Alam itu lagi, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan jumlah kenderaan yang berada di atas jalanraya.

Untuk rekod, perkhidmatan bas percuma GoKL sehingga kini menawarkan tujuh laluan iaitu laluan hijau (KLCC-Bukit Bintang); ungu (Pasar Seni-Bukit Bintang); merah (Hab Titiwangsa-KL Sentral); biru (Hab Titiwangsa-Bukit Bintang); oren (Hab Titiwangsa-Mindef); merah jambu (Hab LRT Universiti-PPR Seri Pantai) dan biru firus (eng: turquoise) (Hab LRT Datuk Keramat-Kelumpuk Bambu Setiawangsa).

Selain daripada itu katanya, kementerian juga sedang giat mengusahakan Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 bagi mengawal selia pembangunan di sesebuah kawasan bandar.

“Malangnya selama ini, walaupun ada pelan tapi Masterplan tersebut tak dipatuhi sepenuhnya kerana tak diwartakan. Jadi, saya mewartakan pelan pembangunan KL yang disiapkan dahulu, bagi mengawal pembangunan.

“Untuk tahun hadapan, kita akan selesaikan pelan sedia ada dan kita akan perkenalkan pelan untuk 2021 – 2040 yang kita wartakan.

“Bermula tahun lepas, kita dah ikut apa yang kita wartakan. Selepas ini kita akan ikut secara terancang agar dapat mengawal kesesakan. Sekarang ini banyak yang tak ikut, banyak masalah yang timbul. Maka, bila ada perancangan baru ini, kita tak akan tersasar lagi,” ujarnya.

Untuk rekod, Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (PBRKL2020) yang diwartakan sebelum ini berjaya melonjakkan kedudukannya di mata dunia di dalam sektor pelancongan, bandar raya yang mudah untuk menjalankan perniagaan, dan bandar raya kompetitif