‘Food Flotilla For Myanmar’ bukti nasib Rohingya tidak diabai

‘Food Flotilla For Myanmar’ bukti nasib Rohingya tidak diabai

Misi bantuan kemanusiaan 'Food Flotilla for Myanmar' menunjukkan nasib etnik Rohingya tidak diabaikan rakyat Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

 

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein  ketika menyaksikan  kapal Nautical Aliya berlepas dari pelabuhan.

Beliau berkata usaha untuk membela penderitaan etnik itu telah mula dibangkitkan ketika Perhimpunan Agung Umno lalu, seterusnya membawa kepada penganjuran Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya pada Disember lalu.

“Kemudian disusuli dengan mesyuarat luar biasa oleh Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) baru-baru ini. Saya tak fikir kosnya, saya nak jugak OIC berhimpun di Kuala Lumpur (bincang isu Rohingya).

“Kita tidak akan terus diam diri dan puas hati dengan usul dan retorik. Apa saya nak cakapkan di sini cukuplah segala penderitaan etnik Rohingya… ‘enough is enough’. Kita susuli dengan misi bantuan kemanusiaan ini, katanya.

Beliau berkata demikian sebelum menyempurnakan pelepasan kapal ‘Nautical Aliya’ yang membawa misi bantuan kemanusiaan itu di Boustead Cruise Centre hari ini.

Turut bersama-sama Najib menyempurnakan majlis pelepasan itu ialah Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man,Datuk Takiyuddin Hasaan dan Tan Sri  Kader Sheikh Fadzir.

Misi ‘Food Flotilla for Myanmar’ yang diketuai oleh Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim adalah anjuran KP1M dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dengan kerjasama Yayasan Turkiye Diyanet Vakfi (TDV) dari Turki.

Perdana menteri dalam pada itu amat terharu dengan persiapan misi berkenaan yang membawa 2,200 tan bantuan termasuk makanan dan ubat.

“Mulanya saya tidak fikir kapal ini mampu disediakan. Saya telah lihat sendiri atas kapal 2,200 tan bantuan makanan dan ubat satu rekod luar biasa. Inilah yang kita akan serahkan pada etnik Rohingya kelak.

“Saya juga terharu dengan kesanggupan lebih 200 sukarelawan daripada 13 negara sertai misi ini. Ada doktor sanggup bayar RM200 nak naik atas kapal sebagai sukarelawan… ini tanda prihatin rakyat Malaysia,” katanya.

Perdana menteri berkata misi ‘Food Flotilla for Myanmar’ ini juga melambangkan penyatuan ummah di Malaysia berikutan terdapat wakil daripada Umno dan Pas turut serta dalam misi berkenaan.

Beliau turut mendoakan semoga perjalanan kapal itu selamat dan misi berkenaan akan mencapai kejayaan.

“Inilah contohnya di mana apabila kita berdiri atas prinsip menolong atas semangat kemanusiaan terhadap insan yang seakidah, tidak ada apa yang tidak boleh kita capai. Semoga semangat ini akan membawa masa depan yang lebih baik kepada umat Islam dan Malaysia,” katanya.

Terdahulu, selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Qayyum di Bandar Armada Putra di sini, Najib dan jemaah turut menunaikan solat sunat hajat bagi memohon agar misi itu sentiasa dalam keadaan selamat dan berjalan lancar.

Salah sebuah NGO dari Thailand yang juga turut menyertai misi kemanusiaan ke Myanmar ini.

Pada solat hajat yang diimamkan Tuan Ibrahim itu, mereka turut mendoakan supaya penderitaan etnik Rohingya ditamatkan segera.

Turut serta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Abdul Azeez.

Sementara itu, bercakap pada sidang media, Najib berkata misi berkenaan tidak akan merenggangkan hubungan antara Malaysia dan Myanmar berikutan ia membabitkan soal kemanusiaan bukan soal politik.

“Ini sumbangan dan harapan kita sebagai sebuah kerajaan yang prihatin atas hak asasi manusia, inilah cara sebaik-baiknya,” katanya.

Ditanya mengenai larangan terhadap rakyat tujuh negara Islam dari memasuki Amerika Syarikat, Najib dalam reaksi ringkasnya berkata sekatan itu tidak melibatkan Malaysia sama sekali.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump baru-baru ini mengeluarkan larangan pengeluaran visa terhadap tujuh negara Islam iaitu Iraq, Iran, Syria, Libya, Yaman, Sudan dan Somalia.

Turut hadir pada majlis pelepasan misi bantuan kemanusiaan itu ialah Noh, Hishammuddin, Jamil Khir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani.

TAGS