Malaysia Dateline

Forensik audit kesan penipuan projek KLVC tanah Felda Jalan Semarak

Felda menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan untuk melakukan semakan perundangan ke atas dakwaan berlakunya penipuan dalam projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) berdasarkan laporan audit forensik ke atas transaksi dan rekod berkaitan projek itu pada 2014.

Laporan forensik audit menunjukkan berlakunya penipuan, kata Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad (foto).

Keputusan penubuhan jawatankuasa itu dibuat susulan persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menubuhkan Jawatankuasa “Domestic Enquiry” bagi mengambil tindakan ke atas cadangan dan syor dalam laporan audit forensik projek KLVC.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan hari ini berkata laporan audit forensik yang dijalankan terhadap projek KLVC menunjukkan terdapatnya ketidakpatuhan prosedur perolehan dan kecuaian dalam menjaga kepentingan Felda.

Jawatankuasa Siasatan Lembaga Felda ini akan dianggotai Ahli Lembaga Felda dan dipengerusikan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Kushairi Din.

Jawatankuasa ini juga dibantu oleh sebuah firma undang-undang yang akan dilantik oleh Felda untuk melakukan semakan perundangan berdasarkan laporan audit forensik yang telah disiapkan, katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda di Kuala Lumpur, malam tadi.

Beliau turut menetapkan tempoh tiga bulan bermula malam tadi untuk jawatankuasa berkenaan menyiapkan siasatan atau semakan perundangan tersebut sebelum menyerahkan laporan lengkap kepada Lembaga Felda.

Selepas itu barulah tindakan akan diambil ke atas pegawai-pegawai Felda dan juga FIC, katanya.

“Tugas jawatankuasa siasatan itu merangkumi pengurusan Felda dan FIC. Kita lihat sejauh mana Ahli Lembaga Felda dan FIC (pada tahun 2014) terbabit dan boleh diambil tindakan undang-undang,” katanya.

Shahrir bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus nama ahli lembaga yang terlibat.

“Bila kita kata (ahli) lembaga Felda dan FIC, termasuklah sekali dengan pengerusi,” ujarnya.

Ditanya tindakan yang boleh diambil ke atas pegawai Felda dan FIC, Shahrir berkata mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan pemecatan dan potongan gaji.

Bagi yang tidak lagi berkhidmat dengan Felda atau FIC, tindakan sivil boleh diambil ke atas mereka, katanya.

JPM dalam kenyataan semalam berkata Felda telah diarahkan mengambil tindakan tatatertib dan tindakan undang-undang terhadap mereka yang cuai dalam menjaga kepentingan agensi kerajaan itu dan sayap pelaburannya, FIC.

KLVC adalah projek yang sedang dibangunkan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) di kawasan tanah milik Felda, di Jalan Semarak dekat sini.

Menurut kenyataan itu lagi, pasukan firma audit yang dilantik melakukan audit forensik terhadap projek berkenaan telah menyerahkan laporan akhir kepada JPM pada 2 Feb lepas.

JPM pula membentangkan laporan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, selaku menteri bertanggungjawab ke atas Felda, pada 5 Feb.