Malaysia Dateline

Forex: Siasatan polis dijangka ambil masa lama

Siasatan polis berhubung kerugian urus niaga forex Bank Negara Malaysia (BNM) pada sekitar 1990-an, dijangka mengambil masa yang lama, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata ini kerana pihaknya perlu meneliti laporan dan mengenal pasti saksi yang akan dipanggil berhubung kes itu.

“Siasatan tiada jangka masa, kalau saksi ramai kita (polis) perlukan masa panjang dan kalau saksi yang akan dipanggil tidak begitu ramai, siasatan akan selesai awal,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Kejohanan Tenis dan Silat Piala Ketua Polis Negara 2017 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur,semalam.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah, dan orang awam diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut kerana siasatan masih berjalan, katanya.

“Jangan buat kesimpulan kerana ia tidak adil, polis akan buat siasatan seadilnya.” ujarnya.

Juamat lalu Mohamad Fuzi dilaporkan berkata pihaknya menubuhkan satu pasukan khas bagi melakukan siasatan lanjut berhubung kerugian urus niaga forex BNM pada sekitar 1990-an.

Pasukan diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Amar Singh Ishar Singh itu, ditubuhkan selepas laporan polis berhubung perkara berkenaan diterima.

Pada 30 November lalu, Setiausaha Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia pada 1990-an, Datuk Dr Yusof Ismail membuat laporan polis berdasarkan syor dan rumusan RCI mengenai kemungkinan berlaku pecah amanah dan penipuan dalam skandal berkenaan.

Yusof dilaporkan berkata laporan itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan rasmi ke atas kesalahan pecah amanah, jenayah dan penipuan serta lain-lain kesalahan yang mungkin dilakukan oleh pihak dinyatakan dalam laporan suruhanjaya itu.

Laporan setebal 400 muka surat itu dibentangkan di Parlimen.