Malaysia Dateline

Formula baharu, kesepakatan komponen mampu raih kemenangan di Rantau

Pakatan Harapan (PH) dilihat mampu meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Rantau dengan formula baharu serta kesepakatan yang jitu sesama komponen parti, kata Ketua PKR Cabang Bagan Alan Oh.

Beliau berkata, mana-mana komponen yang diberi mandat untuk menjadi calon bagi PH harus diberi sokongan.

“Kita harus ada semangat untuk mengalahkan oposisi samada Pas maupun BN.

Alan Oh

“Jangan biarkan sejarah kekalahan dalam dua PRK yang lepas berulang sekali lagi di Rantau.

“Yang pasti, PH mempunyai kekuatan yang perlu dimaksimakan menjelang PRK Rantau pula, ” saran beliau ketika ditemui pada Isnin.

Beliau diminta mengulas mengenai kekalahan calon PH Mohamad Aiman Zainali, calon PSM dan Bebas kepada calon BN Zakaria Hanafi dengan majoriti 1,914 dalam pertandingan empat penjuru pada PRK Dun Semenyih Sabtu lepas.

Katanya lagi, signal yang diberikan oleh rakyat dalalm PRK Dun Semenyih baru-baru ini harus diberi perhatian serius oleh PH.

Beliau berkata, kekalahan PH di Semenyih harus diterima dengan hati yang terbuka tanpa menuding jari kepada mana-mana komponen dalam PH.

“Kekalahan kita dipengaruhi oleh pelbagai faktor yang tidak dapat disangkal.

“Isu manifesto, janji yang belum dapat direalisasikan serta masalah dalaman turut menjadi modal parti pembangkang.

“Namun begitu segala isu yang berjaya dimanipulasi dalam PRK Semenyih harus dijadikan sempadan oleh PH, ” ujar ketika ditemui pada Isnin.

Sehubungan itu kata Alan, jentera PKR Cabang Bagan akan menghantar seramai mungkin ahli dan petugas untuk membantu calon PH bagi PRK Rantau yang akan datang.