Malaysia Dateline

Formula Umno kembali berkuasa dipertikaikan oleh tokoh media

Kenyataan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa Umno hanya perlu melakukan tiga perkara sahaja untuk kembali berkuasa dipertikai oleh bekas tokoh media yang sentiasa berada di belakang Umno sebelum ini.

Datuk A Kadir Jasin dalam tulisannya bertanya, “Itu saja kah isu Umno?” sedangkan bagi beliau isu sebenar Umno adalah kepimpinannya yang dikenali sebagai ‘kluster mahkamah’.

“Bagaimana pula dengan Kluster Mahkamah yang mencemarkan nama baik Umno dan menyebabkan banyak ahli serta penyokong Umno tawar hati? ” tanya bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, media terbesar ketika Umno berkuasa dahulu.

Bagi beliau, semua orang tahu Mohamad Hasan adalah “the leader of choice” Umno tetapi menghadapi bahaya dicantas kalau terlalu menonjol dan berterus terang.

“Lagi pun perwakilan ke Persidangan Umno tidak semestinya mewakili sentimen akar umbi. Banyak daripada mereka boleh dibeli,” katanya.

Di pihak yang lain pula, katanya, Umno mungkin kehabisan masa dan tenaga jika tidak bertindak tegas dan pantas menyelesaikan isu kepemimpinan.

“Sekarang bukan Umno lagi yang menentukan bila pilihan raya umum akan diadakan dan sesuka hati memilih pasangan. Umno bukan “top dog” lagi,” katanya.

Mohamad ketika berucap merasmikan mesyuarat agung Pemuda, Wanita dan Puteri berkata, tiga perkara perlu dilakukan oleh ahli parti itu sekiranya berhajat kembali berkuasa.

Perkara-perkara itu adalah:

Pertama mereka tidak boleh lagi terkeliru mengenai siapakah musuh sebenar parti itu;

Kedua mereka perlu tahu orang yang berpura-pura mendukung Umno tetapi jiwa mereka sebenarnya telah dibeli dengan murah sekali (oleh pihak lain); dan

Ketiga Umno mesti menegaskan kembali bahawa sesiapa yang memusuhi orang Melayu dan Islam adalah musuh Umno.

“Tetapi bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu tidak mendedahkan siapa musuh sebebar parti itu selain berkata Umno sepatutnya sudah tahu siapa mereka.

“Adakah yang beliau maksudkan itu mereka yang bersekongkol dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu?

“Adakah mereka yang beliau tuduh berpura-pura mendukung Umno tetapi jiwa mereka telah dibeli dengan murah sekali?

“Adakah mereka sama dengan golongan yang telah dibeli oleh Perdana Menteri Muhyiddin Mohd Yassin melalui “the scheme of things” dengan jawatan Menteri, Timbalan Menteri dan pelantikan GLC?” tanya Kadir dalam tulisannya.