Forum kedaulatan makanan bantah uji kaji lapangan padi GM

Forum kedaulatan makanan bantah uji kaji lapangan padi GM

Forum Kedaulatan Makanan bersama 54 organisasi masyarakat dan badan bukan kerajaan (ngo) Malaysia, pada Selasa  membantah uji kaji lapangan terkawal padi yang telah diubahsuai genetiknya (Padi GM) supaya tahan terhadap racun glyphosate, serta penyakit padi yang disebabkan oleh bakteria dan kulat.

Koordinatornya, Nurfitri Amir Muhammad, berkata permohonan untuk menanam padi GM di lapangan menimbulkan kebimbangan serius terhadap kesannya kepada manusia dan alam sekitar.

Katanya, wujud risiko pencemaran genetik terhadap padi liar dan padi konvensional dengan bahan transgenik yang diubahsuai sehingga boleh menjejaskan biodiversiti padi dan membahayakan pasaran eksport beras.

“Menurut GM Contamination Register, bilangan insiden pencemaran melalui uji kaji lapangan mencatat rekod tertinggi sehingga 2014 walaupun tidak ada padi GM yang ditanam secara komersial setakat ini di mana-mana tempat didunia.

“Sehingga ke hari ini, tidak ada satu pun konsensus saintifik mengenai jaminan biokeselamatan GMO bahkan kajian bebas telah berulang kali mendedahkan kesan yang tidak diingini dalam tanaman GM.

“Sebagai contoh, terdapat kajian yang telah mengesan tahap metabolit yang diubah dalam padi dan jagung yang toleran glyphosate.

“Jagung tersebut mempunyai peningkatan ketara dalam sebatian yang mungkin toksik kepada manusia dalam konteks tertentu. Kajian-kajian ‘peer-reviewed’ yang lain juga telah menunjukkan wujudnya kesan toksik dalam ujian pemakanan dengan tanaman GM,” katanya.

Tambahnya, tiada butiran terbuka di peringkat molekul yang tersedia untuk memastikan bahawa pengubahsuaian genetik padi GM tidak menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini.

Kata beliau, maklumat ini penting untuk memastikan keselamatan manusia dan alam sekitar terjamin, terutamanya dalam hal padi, tanaman ruji di Malaysia dan di rantau.

“Secara sengaja, tanaman yang toleran terhadap glyphosate akan mempromosikan penggunaan glyphosate dengan lebih banyak dan ini akan memberikan impak yang buruk terhadap kesihatan dan alam sekitar.

“Glyphosate semakin banyak boleh dikaitkan dengan kesan toksik yang serius dan risiko maut termasuk kanser dan kecacatan kelahiran sehingga beberapa negara dan kawasan serantau mengharamkan penggunaannya.

“Sekiranya tanaman yang toleran terhadap Glyphosate diluluskan untuk penanaman komersil, ia tidak akan berkesan dalam jangka masa panjang,” katanya.