‘Founder’ 99 Speedmart kini tersenarai antara 10 terkaya di Malaysia dengan aset lebih RM12 bilion 

Oleh KIM SYAZIE

Pengasas kedai runcit 99 Speedmart kini menjadi salah seorang taikun yang terkaya di Malaysia selepas syarikatnya, 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia 9 September lalu.

Nilai bersih kekayaan Lee yang berkerusi roda sejak kecil akibat polio dianggarkan lebih RM12 bilion oleh Forbes.

Menurut WeirdKaya, Forbes telah menganggarkan nilai bersih kekayaan Lee adalah sebanyak AS$2.8 bilion (kira-kira RM12.1 bilion) meletakkannya di kalangan 10 individu terkaya di Malaysia.

Nilai kekayaan tersebut sekali gus meletakkannya di hadapan Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Kumpulan Genting, Tan Sri Lom Kok Thay dan di belakang Jeffrey Cheah dari Kumpulan Sunway.

Memetik FMT, Tawaran Awam Permulaan (IPO) yang dijangka berharga RM1.65 sesaham akan datang akan menilaikan 99 Speedmart pada RM13.86 bilion dan penganalisis menjangkakan saham tersebut akan berprestasi baik selepas penyenaraiannya.

Lee dilahirkan dalam keluarga besar dengan 10 adik-beradik, bapanya seorang buruh binaan, sementara ibunya bekerja sebagai penjaja.

Akibat menghidap polio pada usia muda, Lee kehilangan keupayaan pada kakinya tetapi tidak pernah hilang semangat.

Beliau mula menjual snek di tepi jalan ketika di usia remaja dan secara perlahan-lahan menyimpan wang untuk membuka kedai runcit.

Di usia 23 tahun, Lee sudah berjaya membuka kedai runcit pertamanya di Pasar Raya Hiap Hoe di Klang hasil daripada wang jualan snek yang dikumpul.

Hari ini, 99 Speedmart menjadi nama yang tidak asing lagi di seluruh Malaysia dengan lebih 2,650 cawangan, dan sasaran penambahan 250 cawangan baharu setiap tahun.

Menurut Lee, pemilihan angka 99 bukanlah secara kebetulan.

“Kami memilih nombor 99 kerana ia melambangkan ketidaksempurnaan dunia ini. Walaupun kami tidak sempurna, kami tetap berusaha memberikan yang terbaik kepada pelanggan kami,” katanya dalam satu temubual.

Baca juga: Tular rakaman bayi terkapai kerana muka tertindih bantal, pengasuh sibuk main telefon!