Keputusan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerima tawaran HOT FM ditafsirkan sebagai satu percaturan bagi menambat hati rakyat.
Wartawan South China Morning Post yang bertapak di Malaysia, Hadi Azmi berpendapat bahawa ‘gerakan’ KJ itu merupakan satu langkah bijak dalam arena politik.
Katanya, ‘airtime’ atau waktu ke udara yang bakal diterima KJ sebagai penyampai radio merupakan satu perkara berharga.
Hal ini kerana bekas Ahli Parlimen Rembau itu dijangka mampu memperluaskan pengaruhnya di kalangan pendengar radio.
Menurutnya, sesetengah orang mungkin berpendapat bahawa radio adalah salah satu media yang agak ketinggalan zaman.
Namun begitu, jika digunakan dengan bijak, ia mampu membentuk pandangan positif di kalangan pendengar yang merupakan calon pengundi.
Lalu, situasi tersebut berkemungkinan boleh mempengaruhi undi dan keputusan yang diperolehi KJ pada pilihan raya akan datang.
“Bagi seorang ahli politik tanpa parti yang didakwa mengintai peluang untuk menjadi Menteri Besar Selangor, dia mendapat masa siaran yang kebanyakan ahli politik akan iri.
“Kebanyakan orang mungkin telah menganggap radio sebagai peninggalan masa lalu, tetapi ia masih relevan,” ciapnya di media sosial Twitter.
Hadi yang pernah bergelar wartawan di The New York Times itu turut memetik lirik lagu Queen yang bermaksud ‘kamu akan mendapatkan waktu terbaikmu’.
“You’ve yet to have your finest hour,” tambahnya.
Baca juga: Harta si mati nak tapi tanggungjawab tak nak, peguam ini sekolahkan waris yang tamak harta faraid