Malaysia Dateline

Fuziah bakal didakwa esok sebar berita palsu

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh bakal dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor esok susulan penyebaran berita palsu menerusi hantaran di laman Facebook miliknya.

Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman mendapat kebenaran untuk menuduh Fuziah jam 8.30 pagi.

Terdahulu, polis telah merakam keterangan bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berhubung rakaman video orang ramai menyerbu Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Sultan Iskandar (CIQ) di Johor Bahru.

Akaun itu kemudian menyiarkan permohonan maaf daripada “pengendali” kerana memuat naik klip video lama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata, pihaknya turut merampas gajet yang digunakan untuk memuat naik video dan kenyataan tersebut.

Beliau memberitahu kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 500 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu tuduhan menyebabkan fitnah dan ketakutan awam.

Kes tersebut turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Mengikut peruntukan akta-akta berkenaan, seseorang yang disabitkan bersalah boleh dihukum penjara sehingga dua jam, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Pertahan hak

Sementara itu, Fuziah berkata beliau menerima notis saman daripada pihak berkuasa yang mengarahkannya hadir di Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi esok.

Katanya, menurut notis itu beliau akan didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membuaut kenyataan yang mendatangkan khianat awam, serta Seksyen 249 Akta SKMM (berkaitan capaian berkenaan data berkomputer).

“Sekiranya pertuduhan ini bersifat politik, ianya amat-amat dikesali dan tidak seharusnya berlaku.

“Saya akan terus pertahankan kebenaran dan hak saya, serta pasti bahawa yang hak itu akan terserlah jua,” katanya.