Malaysia Dateline

G25 diminta tampil perjelaskan laporan dikeluarkan

Kumpulan bekas penjawat awam (G25) diminta tampil menjelaskan laporan berkaitan isu penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

Susulan kontroversi yang melanda ketika ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof meminta kumpulan itu supaya menghentikan laporan yang boleh menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat.

“Dia (G25) kata kita (Jakim dan MKI) tidak sah, dan dia menimbulkan kebimbangan. G25 perlu bagitahu kepada masyarakat apa sebenarnya maksud yang ingin disampaikan, kemudian baru boleh kita bincang.

“Kalau kenyataan dia (G25) masih sama, iaitu mempertikaikan tentang Jakim dan MKI, saya akan jawab balik apa guna dia berbincang dengan saya, kalau saya tak sah.

Mujahid dalam Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Rakan Siswa Yadim (RSY) Sesi 2020 / 2021 di Hotel Putra, hari ini.

“Mereka kena tampil menjelaskan laporan-laporan yang dikeluarkan sebab isu ini terus (melibatkan) jabatan di bawah saya. Mereka juga perlu tampil mengeluarkan kenyataan yang betul.

“Katakanlah dia cakap kami (G25) punya kenyataan diputar belit, OK yang tak putar belitnya apa? Bagitahu kepada orang ramai, barulah saya pun jelas apa yang mereka mahukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai isu G25 selepas merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Rakan Siswa Yadim (RSY) Sesi 2020 / 2021 di Hotel Putra, hari ini.

Seramai 37 Rakan Siswa Yadim dari pelbagai Institut Pengajian Tinggi (IPT) menerima watikah pelantikan yang disampaikan sendiri oleh Dr Mujahid sambil disaksikan Yang Dipertua Yadim, Nik Omar Datuk Nik Ab Aziz.

RSY ditubuhkan bertujuan untuk melahirkan kepimpinan pelapis masa depan negara dan masyarakat yang beridealisme Islam dan berjiwa dakwah yang memahami dan menghayati Gagasan Rahmatan Lil Alamin.

Dalam isu sama, Dr Mujahid yang juga Naib Presiden AMANAH menegaskan, penubuhan Jakim dan MKI adalah sah dan pihaknya telah menjalankan tugas mengikut peruntukan perlembagan yang ada.

“Saya sebagai Menteri Agama tetap menyatakan bahawa Jakim dan MKI adalah sah,” tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.

Selasa lalu, Sinar Harian melaporkan, Dr Mujahid mempersoalkan motif kumpulan G25 yang terus membangkitkan isu berhubung penubuhan Jakim walaupun sudah diberikan penjelasan terperinci sebelum ini.

Dr Mujahid berkata antara yang diperjelaskan dalam dua pertemuan bersama G25 pada November tahun lalu dan 2018 adalah mengenai penubuhan, penguatkuasaan dan peruntukan yang diterima Jakim.

“Saya tidak faham kenapa isu ini masih berlegar. Ini bukan soal mereka (G25) tidak hormat Islam tetapi persepsi yang dibina boleh menimbulkan rasa khuatir pihak tertentu kepada kumpulan tersebut,” katanya.

11 Januari lalu, media melaporkan dakwaan G25 bahawa penubuhan Jakim dan MKI tidak mengikut Perlembagaan kerana tiada peruntukan untuk agensi berkenaan ditubuhkan di peringkat nasional.