G25 diminta tumpu isu sosial dan ekonomi bukan agama saja

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kumpulan bekas penjawat awam G25 diminta turut peka terhadap masalah sosial dan ekonomi yang berlaku dalam negara selain mempersoal undang-undang ke atas perbuatan khalwat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Kelantan, Mumtaz Md Nawi berkata, G25 perlu lebih bermaruah dan berbudi dalam menjaga kebajikan semua.

“Tugas kita dan G25 perlulah mencari pendekatan bagi menyalurkan kasih sayang di landasan yang benar dan mengikut undang-undang dalam kehidupan berkeluarga, saling menghormati dan diberkati, bukan menikmati dasar sama rela, kemudian bila habis sepah dibuang, ia akan berakhir dengan sama derita.

“Kenyataan ini menyedihkan kerana ia berlaku di saat orang barat dan timur mencari-cari, juga teruja dengan kebenaran serta keajaiban ilmu dalam al-Quran, tetapi masih ada golongan yang tidak serik memuja hukuman ciptaan manusia,” katanya dalam satu kenyataannya.

Beliau mengulas mengenai kenyataan jurucakap kumpulan G25, Datuk Noor Farida Ariffin berhubung hukuman terhadap perbuatan khalwat perlu dimansuhkan kerana melanggar hak dan privasi.

Mumtaz turut berkata, G25 sepatutnya menjadi duta dan ikon yang mempertahankan negara serta agama, sebaliknya pendapat dikeluarkan mengenai khalwat boleh dianggap memperlekehkan institusi raja yang menggubal enakmen.

“G25 adalah gabungan pihak yang mencari kesesuaian hukum Islam mengikut akal dan undang-undang ciptaan manusia, yang dilihat seolah-olah mencari populariti.

“Usaha mereka mahu orang menerima pakai khalwat sebagai privasi adalah tidak wajar dari segi akal dan adab manusia, sedangkan khalwat itu adalah ‘kanser’ rumah tangga bagi dua manusia dalam keluarga, malah ia bukanlah cereka,” katanya lagi.

Beliau menambah, manusia bertamadun mahu sesuatu bersih dan suci dalam hubungan yang sah, juga turut diterima undang-undang, bukan untuk berseronok atau suka-suka, sebaliknya ia adalah tanggungjawab berterusan.

“Betapa daif dan rendahnya maruah seorang manusia lelaki atau perempuan menjalin hubungan dengan orang dikasihi dengan sembunyi dan tanpa liabiliti, sedangkan semua perkara di dunia ini ada nilai, kos dan tanggungjawab.

“Yang penting, G25 perlu sedar Islam bukan hanya agama yang sesuai untuk menjaga individu tetapi ia juga turut melindungi keluarga dan masyarakat,” katanya.

TAGS