Malaysia Dateline

G25 lapor polis berkaitan artikel dikarang Presiden Pas, dakwa difitnah

Kumpulan bekas penjawat awam kanan (G25) hari membuat satu laporan polis berhubung artikel dikarang Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertajuk ‘G25 Membahayakan Akidah Umat Islam’.

Artikel tersebut telah diterbitkan oleh Harakahdaily pada 17 Januari lalu dan laporan polis dibuat oleh wakil G25, Datuk Noor Farida Mohd Ariffin.

Menurut laporan polis yang dibuat Noor Farida, pihaknya terkejut dan terkilan dengan penerbitan artikel berkenaan yang disifatkan sebagai satu bentuk fitnah terhadap mereka.

Beliau berkata, artikel ditulis Hadi Awang yang diterbitkan oleh Harakahdaily telah menyatakan kata-kata kesat terhadap laporan kami tentang ‘Administration On Islam in Malaysia’.

Katanya, artikel Hadi Awang itu telah dikarang dan diterbitkan sebagai balasan kepada laporan yang diterbitkan oleh Kumpulan G25 yang bertajuk ‘Administration of Matters Pertaining to Islam in Malaysia.

“Tetapi adalah jelas daripada tulisan pengarang artikel tersebut, bahawa pengarang tidak membaca atau meneliti laporan Study on the Administration of Islam in Malaysia (SAIM) walaupun laporan SAIM itu telah diterbitkan dalam dwi bahasa (Malaysia dan Inggeris).

“Saya ingin memetik sebahagian daripada kenyataan yang dibuat dalam artikel tersebut. Pengarang mengatakan Suruhanjaya Reid yang menggubal Perlembagaan Persekutuan telah dibentuk oleh penjajah dan tiada seorang pun anggota daripada rakyat negara ini yang beragama Islam dan walaupun dua anggotanya bernama Islam, tetapi mereka berfikiran sama dengan penjajah.

“G25 ini menyatakan fakta yang dikemukakan oleh pengarang yang dipetik dan dinyatakan di atas, adalah salah berdasarkan catatan sejarah. Secara jelas, sejarah merekodkan perjumpaan antara Suruhanjaya Reid dan wakil komuniti, terutamanya Alliance Party yang telah memberikan cadangan dalam penggubalan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Turut hadir, Ahli G25, Tan Sri Alwi Jantan dan Peguam mewakili G25, Datuk Sri Jaharberdeen Mohamed Yunoos.

Noor Farida berkata, jika mana-mana individu atau kumpulan mahu mengulas tentang laporan SAIM, mereka seharusnya meneliti terlebih dahulu kandungan laporan berkenaan sebelum membuat sebarang kenyataan.

Tambah Noor Farida lagi, pengarang (Abdul Hadi Awang) telah melabel Kumpulan G25 sebagai sebuah organisasi yang melangkaui status kumpulan pengganas Al-Maunah.

“Kenyataan tersebut mengaibkan dan dikhuatiri akan mengapikan mana-mana golongan dan itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukkan sama,” ujarnya lagi.