Malaysia Dateline

Gabung Bernama-RTM ambil kira pesaing Reuters, CNN

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata rancangan penggabungan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi menonjolkan wajah baru dan bersaing dengan agensi-agensi berita antarabangsa.

Sehubungan itu, beliau berharap rancangan penggabungan dua entiti di bawah kementeriannya itu dapat dilaksanakan dalam tempoh beberapa bulan lagi.

“Saya rasa ini yang kita perlu lakukan iaitu melangkah lebih jauh ke depan. Kementerian mengambil kira saluran pesaing-pesaing seperti Reuters, CNN dan Al Jazeera.

“Kena faham dunia sudah maju dan ia terpulang kepada kita. Jika kita tidak bergerak pantas atau tidak mengakui sudah tiba masanya untuk bersaing, perkara itu akan membuatkan kita jauh ketinggalan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis tayangan dokumentari berjudul Incarcerated Rhythm di ibu negara semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Finas, Fauzi Ayob dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini Premesh Chandran.

Selain langkah penjimatan kos pengurusan, Gobind yakin gabungan yang akan membentuk sebuah “Dapur Media” itu dapat menaik taraf seluruh kandungan program yang disiarkan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Puchong itu memberitahu telah melihat kelebihan dan kekurangan RTM dan Bernama.

“Jika kita mampu gabungkan kekuatan ini bersama kita boleh menyalurkan wang ke saluran lain dan dapat tingkatkan nilai serta kualiti berita dihasilkan pada tahap berlainan,” katanya.

Bagi melaksanakan pembaharuan berkenaan, Bernama dan RTM diarah menyerahkan kertas kerja cadangan penggabungan kedua-dua organisasi itu menjelang akhir bulan ini.

“Justeru, saya komited untuk berbuat demikian. Saya berharap boleh mencapai kata putus dengan segera,” katanya dengan turut menyifatkan tugas yang ingin dibuat sebagai satu cabaran hebat.