Malaysia Dateline

Gabungan antara “perompak” dengan “penipu”, kata Khalid Samad

AMANAH menyifatkan penggabungan antara Umno dengan Pas adalah gabungan antara perompak dengan penipu dan bakal menjadi gabungan yang mantap.

Dalam temubual secara langsung di Jom Channel malam tadi, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, Umno dan gabungannya telah dijatuhkan dalam pilihan raya lalu kerana merompak wang negara.

Pas pula, katanya, melalui pemimpinnya, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz telah mengaku berbohong menjelang pilihan raya lalu apabila berkata bukan suara beliau dalam audio yang ditularkan.

Selepas pilihan raya, Nik Abduh pula berkata, beliau mengaku berbohong dengan kebenaran pemimpin Pas sendiri.

Bahkan beliau mendakwa ayahanda beliau sendiri, bekas Mursyidul Am Pas, juga pernah menipu.

 

GABUNGAN MANTAP

Wawancara Jom Chanel dengan Khalid malam tadi.

Bagi Khalid, apabila kedua-dua kumpulan ini berganding bahu ia akan menghasilkan satu gabungan yang ampuh.

“Bila penipu dan perompak ini berganding bahu, memang susahlah kita nak lawan,” kata Khalid dalam wawancara itu.

Bagi Khalid, gabungan ini menjadi lagi ampuh apabila perompak dan penipu ini menggunakan kaum dan agama untuk mempertahankan mereka.

“Bila perompak bekerjasama sesama mereka, kita mudah hendak lawan. Tetapi apabila perompak ini bekerjasama dengan penipu dan memakai baju keagamaan pula… waw ini bermakna perompak boleh bermaharajalela,” kata Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Bagi Khalid, perompak akan sentiasa mencari seorang penipu yang dianggap oleh orang sebagai orang yang baik untuk menjadi pembela kepada dirinya.

“Saya yakin, ini satu gandingan yang akan berkesan,” kata Khalid dalam wawancara bertajuk “Apabila penipu dan perompak berganding bahu” itu.

Ketika ditanya, kenapa penipu itu sanggup pula membela perompak itu, Khalid berkata, “Mungkin dia telah dapat komisyen dia.”

Pas dan Umno baru-baru ini mengisytiharkan mereka bergabung secara rasmi dan melangsungkan kenduri kahwin 5 Mac lepas.

“Kita bertunang di Seri Setia, hari ini kita buat kenduri kahwin dah ni,” kata Datuk Seri Mohamad Hassan pemangku Presiden Umno dalam sidang media selepas mesyuarat pertama peringkat tertinggi kedua-dua parti.

Keratan berita kenyataan Nik Aziz yang mahu meludah muka pemimpin Pas yang mahu membawa parti itu bekerjasama dengan Umno.

Menurut Khalid, sebelum ini ketika beliau sendiri katakan sesetengah pemimpin Pas mahukan parti itu bekerjasama dengan Umno, pelbagai tuduhan dan dakwaan yang dihalakan kepada beliau.

“Macam-macam orang tuduh saya. Jebonlah, Anwarinaslah dan macam-macam lagi. Sekarang sudah terbukti, dah kenduri pun,” kata Khalid.

Menurut beliau, ketika dalam Pas dahulu, pelbagai perkara yang dinyatakan oleh Mursyidul Am Pas ketika itu, Tuan Guru Nik Aziz terhadap mereka yang mahu membawa kerjasama antara Pas dengan Umno.

“Antaranya Tok Guru Nik Aziz nak ludah muka mereka,” kata Khalid, bekas AJK Pas pusat itu.

Menurut Khalid, kerjasama itu benar-benar terjadi selepas meninggalnya pemimpin Pas yang sangat dihormati itu.

 

SUDAH LAMA SEDAR

Menurut Khalid, beliau dan sebahagian pemimpin Pas ketika itu sudah sedar adanya usaha untuk bekerjasama dengan Umno ini di kalangan sesetengah pemimpin, namun apabila ditanya, pemimpin utama Pas ketika itu menafikannya.

“Apa yang dilakukan oleh mereka adalah merancang dan menyusun strategi untuk melaksanakan hasrat itu dengan menaburkan kebencian.

“Mula-mula mereka serang Datuk Seri Anwar dan bila kami bela, mereka gelar kami Anwarinas.

“Bila mereka rasa susah untuk mendapat sokongan, mereka mula gaduh dengan DAP pula. Ini strategi kedua. Ketika itulah lahirnya isu DAP kafir harbi, anti Islam dan sebagainya.

“Bila berjaya dan disokong sebahagian ahli,  adalah alasan mereka untuk keluar PR (Pakatan Rakyat) pada ketika itu dan akhirnya bergandinglah dengan Umno,” cerita Khalid.