Malaysia Dateline

Gabungan baru, lanskap baru politik Malaysia

Politik itu adalah dinamik, politik juga serba kemungkinan, politik juga adalah seni. Landskap politik Malaysia tidak pernah sepi daripada kejutan.

Sejarah tidak pernah memadamkan setiap detik yang berlaku dalam arena politik tanah air. Sejarah juga membuktikan parti politik di Malaysia sangat “mobile” menjalinkan kerjasama politik antara parti politik yang lain demi kelangsungan politik mereka dan mengetepikan idealisma perjuangan asal parti politik mereka.

Hal Ini dapat kita lihat hari ini, bagaimana pada suatu ketika dahulu Pas merupakan seteru utama politik Umno sehinggakan terdapat di kalangan pemimpin Pas dan Umno mengkafirkan sesama sendiri dan terdapat juga pemimpin atasan mereka mengeluarkan dalil dalil mengharamkan pengikut-pengikut mereka menyokong parti lawan sehinggalah terbitnya Amanat Haji Hadi.

Itu semua dahulu tetapi sekarang mereka boleh duduk semeja tidur sebantal mandi bersama. Itulah yang dinamakan Dinamik politik Malaysia.

Oleh yang demikian usahlah kita terkejut dan gusar akan berlakunya satu lagi perubahan lanskap politik Malaysia dalam masa terdekat.

Ramai pihak hari ini sudah boleh menerima kerjasama politik antara Umno dan juga Pas sedangkan kedua-dua parti politik inilah penyebab utama kepada masalah ketegangan kaum.

Seperti biasa Umno memomokkan tentang perjuangan Melayu manakala Pas memomokkan tentang perjuangan Islam. Hal ini telah mencetuskan satu suasana yang tidak harmoni dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Walaupun Malaysia telah Merdeka selama 63 tahun tetapi isu perkauman tidak dapat dihapuskan secara total oleh kerana parti politik di Malaysia masih berteraskan kaum acapkali memainkan sentimen perkauman.

Kita sebagai rakyat Malaysia perlu mengambil satu iktibar tentang peristiwa 13 Mei. Pernahkah kita benar-benar mengidamkan sebuah negara Malaysia yang harmoni?

Malaysia perlukan satu anjakan politik yang besar dalam politik tanah air bagi memastikan Malaysia dapat bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara bangsa Malaysia.

Satu-satunya parti politik di Malaysia yang bejaya berteraskan parti berbilang kaum adalah Parti Keadilan Rakyat. Parti ini lahir daripada jalanan, parti ini lahir daripada sosok tubuh bernama Anwar Ibrahim.

Parti ini wujud adalah untuk menggerakkan Malaysia ke arah negara yang bebas rasuah, kesaksamaan dan keadilan antarara kaum.

Yakin dan percayalah, tanpa susuk tubuh bernama Anwar bin Ibrahim yang mencetuskan dan menggerakkan sebuah perjuangan reformasi sudah pasti parti-parti pembangkang yang lain tidak akan merasai kuasa selama 22 bulan memerintah Kerajaan Persekutuan.

Sejak Tahun 1999 setiap ahli politik, setiap parti politik daripada gabungan pembangkang berceramah berkempen menggunakan nama Anwar bin Ibrahim untuk meraih undi.

Sudahkah kalian alpa, sudahkah kalian lupa?

Hari Ini sosok tubuh yang bernama Anwar bin Ibrahim merupakan pengerusi Pakatan Harapan dengan penuh yakin mengumumkan beliau mempunyai majoriti mudah membentuk sebuah Kerajaan Persekutuan yang baru.

Telah timbul desas-desus dari mana datangnya sokongan ini. Seperti saya berbicara di awal tadi, Malaysia tidak pernah sepi daripada kejutan-kejutan politik.

Jika tiada siapa yang menyangka Pas dan Umno boleh duduk semeja tidur sebantal mandi bersama, tiada siapa juga boleh menjangka bahawa Umno dan DAP boleh duduk semeja mandi bersama tidur sebantal.

Sebelum ini Umno memomokkan DAP sebuah parti yang rasis dan DAP pula memomokkan Umno juga sebuah parti rasis. Pernahkah kita berfikir untuk mencari titik temu menghentikan perbalahan dua parti besar ini?

Dalam menggerakkan Malaysia ke arah sebuah negara yang stabil dan maju kehadapan, kita tidak boleh lagi untuk berbincang dan berbalah tentang perkauman.

Sosok tubuh bernama Anwar bin Ibrahim juga percaya, satu langkah besar dalam politik Malaysia perlu diambil memastikan Malaysia bergerak ke hadapan tanpa masalah perkauman lagi.

Mungkin Sebuah gabungan baru yang akan dibawa oleh sosok tubuh bernama Anwar bin Ibrahim ini adalah sebuah gabungan yang diidamkan oleh setiap rakyat Malaysia.

Politik Malaysia serba dianamik, adakah benar-benar akan berlaku kerjasama politik antara PKR, DAP dan juga Umno? Jika ini berlaku, ini adalah satu anjakan politik yang besar di Malaysia yang dapat mengatasi masalah perkauman yang telah melanda lebih 60 tahun.

Rakyat Malaysia masih lagi menaruh harapan untuk memiliki sebuah Malaysia baru.

—————–
Penulis adalah rakyat Malaysia dan pembaca Malaysia Dateline.