Gabungan Bersatu Sabah sedia ambilalih tadbir negeri

Gabungan Bersatu Sabah sedia ambilalih tadbir negeri

Gabungan Bersatu Sabah (GBS) yang disertai empat parti politik tempatan bersedia mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan di bawah pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang disifatkan gagal mentadbir negeri ini.

GBS merupakan gabungan empat parti politik iaitu Umno, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (STAR).

Pengerusi Interim GBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, kerajaan pimpinan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bersama gabungan Pakatan Harapan dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazan Dusun Murut (UPKO) dibayangi pelbagai isu sepanjang tempoh lima bulan mentadbir Sabah.

Menurut Pairin, GBS yang terdiri daripada empat parti politik komited memperbetulkan keadaan pentadbiran kerajaan negeri yang disifatkan kucar-kacir sekali gus menempatkan Sabah sebagai sebuah negeri yang kukuh di Malaysia.

“Selepas lima bulan berkuasa kerajaan negeri baharu ini gagal menjalankan amanat rakyat dan memperlihatkan kelemahan dalam pentadbiran.

“Antaranya gagal memperjuangkan hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 termasuk membantu pemohon yang tidak layak mendapatkan dokumen pengenalan diri,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pengumuman pembentukan GBS di sini lapor Kosmo.

Hadir sama ialah Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Hajiji Noor; Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili; Presiden Star, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dan Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup.

Pairin berkata, penubuhan GBS merupakan kerajaan alternatif untuk memperjuangkan hak Sabah di peringkat pusat.

Menurut beliau, GBS bersedia menjalinkan kerjasama baik dengan semangat Malaysia Baharu demi kepentingan Sabah