Malaysia Dateline

Gabungan besar: Ahli AMANAH usah terpengaruh propaganda musuh

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad mengingatkan setiap ahli untuk tidak mudah terpengaruh dengan propaganda musuh yang cuba memecah belahkan Pakatan Harapan (PH).

Dalam ucapan penggulungannya, Khalid berkata setiap ahli perlu mendapatkan maklumat dari sumber media yang boleh dipercayai kerana ketika ini tentera siber pihak musuh cuba memutar belit kenyataan PH dan memberi gambaran sebaliknya.

Katanya, isu pembentukan ‘gabungan besar’ antara yang paling mudah dimainkan sehingga wujudnya dakwaan bahawa koalisi tersebut bertujuan menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mahu mengangkat Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya menekankan kepada ahli dan pimpinan di setiap peringkat untuk berpegang kepada portal dan sumber maklumat dari kita supaya tidak timbul persepsi negatif dan terpesong.

“Sebagai contoh isu yang sedia hangat dibahas dan diputar belit ialah soal pembentukan gabungan besar.

“Ada cyber trooper yang nak gagalkan usaha kita bahawa gabungan besar ini bertujuan menolak Anwar dan bawa masuk Mahathir selain mahu menjadikan bekas Perdana Menteri itu sebagai ketua gabungan besar.

“Ini merupakan putar belit maklumat yang sengaja dilakukan pihak yang mahu menggagalkan kita,” katanya ketika Konvensyen AMANAH Nasional hari ini.

Pada masa sama katanya, tentera siber AMANAH akan diselaraskan untuk menangani tanggapan negatif yang disebarkan pihak musuh.