Malaysia Dateline

Gabungan besar dari 108 MP pembangkang bukan khayalan

Gabungan besar atau grand coalition baharu parti pembangkang daripada 108 Ahli Parlimen yang menolak Belanjawan 2021 bukan bersifat khayalan.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, gagasan grand coalition untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) juga adalah bersandarkan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Mengapa 108 itu tidak dibina kekuatan menjadi grand coalition sebab gabungan besar bukan khayalan.

“Ia dibuktikan dengan komitmen kita dalam Parlimen. Grand coalition ini berasaskan keputusan Majlis Presiden PH.

“Kita tidak bermusuh dengan siapa-siapa. Pintu PH tidak pernah tertutup,” tegasnya mengulangi pendirian AMANAH.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata demikian dalam Dialog Pembangkang Siri 2 bertajuk “Solidariti Pembangkang: Realiti Menuju PRU-15” di Astro Awani malam tadi.

Menjawab soalan jika terdapat Ahli Parlimen yang mempunyai kes mahkamah ingin menyertai grand coalition, beliau menegaskan PH ada parameter tertentu bagi membina blok pembangkang yang kuat.

“Kita jaga. Ada prinsip-prinsip yang disebut dengan jelas bahawa kita tidak berkompromi dengan golongan kleptokrasi.

“Tapi pada mereka yang mempunyai potensi untuk bersama kita, maka pintu terbuka untuk kita bersama mencapai objektif gabungan besar,” katanya.

Dalam masa sama, Salahuddin mengingatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau kerajaan ‘tebuk atap’ diterajui Muhyiddin Yassin tidak boleh dibiarkan.

“Kita sama sekali tidak bersetuju mereka mengambil alih kerajaan. Oleh itu, kita akan lawan dan perangi mereka menerusi grand coalition.

“Kita terima mana-mana individu yang bersetuju untuk menumbangkan kerajaan yang tiada keabsahan ini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa pembangkang mempunyai deretan nama besar yang jauh berpengalaman dalam politik pilihan raya.

“Pemimpin PH dan rakan bukan sehari dua dalam politik. Kita ada nama yang besar.

“Bukan hendak bina struktur lagi. Terasnya (grand coalition) ialah PH dan kita mengambil rakan-rakan yang lain,” katanya ketika ditanya moderator Luqman Hariz berkenaan rupa bentuk grand coalition tersebut.

Salahuddin berkata, rakyat mahu melihat kesepakatan pembangkang seperti pernah dicapai pada PRU-14.

“Rakyat mahu melihat solidariti dalam setiap kali pilihan raya. Apa pun orang kata, kejayaan PH pada PRU-14 ialah boleh menamakan calon PM.

“Kalau PRU-14 (2018) boleh, mengapa PRU-15 tidak boleh,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram di Johor itu.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu sekali lagi mengulangi pendirian berkenaan pemilihan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Kita ada perjanjian dalam PH. Kita telah menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Itu yang kita muktamadkan dalam PH.

“AMANAH dalam PH dan kita berpegang pada janji,” tegas Salahuddin lagi.