Malaysia Dateline

Gabungan besar pembangkang elak 108 kerusi Parlimen bertembung

Gabungan besar atau grand coalition yang direncanakan harus dilihat secara tenang dan bijaksana kerana ia merupakan kesepakatan dalam kalangan parti-parti politik di negara ini.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, gabungan besar pembangkang bertujuan bagi mengelakkan perpecahan antara satu sama lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Sekiranya ada perbezaan pandangan sekalipun, harus ada kesepakatan kerana 108 kerusi Parlimen yang dimenangi sebelum ini mesti dipertahankan oleh semua parti pembangkang.

“Seandainya 108 kerusi sedia ada berlaku pertembungan, mana mungkin pertambahan kerusi dapat berlaku bagi merealisasikan impian rakyat agar perubahan dapat dilaksanakan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena Konvensyen Nasional Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (AWAN) kali ke-5 di Pusat Konvensyen Bayou Lagoon di Bukit Katil, Melaka hari ini.

Mahfuz yang juga Ahli Pokok Sena berkata gabungan besar oposisi juga harus wujud du peringkat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam masa sama, beliau menegaskan pentingnya barisan kepimpinan mencari sebanyak mungkin rakan dalam kalangan musuh dan mengelakkan permusuhan.