Malaysia Dateline

Gabungan paling berjaya kurangkan musuh menang PRU-15

Umno-BN kecundang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu bukan semata-mata isu 1MDB, tegas Pengarah Strategi Pemuda AMANAH Nasional, Hasbie Muda.

Menurutnya, Najib Razak kalah PRU pada 2018 lalu kerana musuh yang bertambah.

“Bermusuh dengan timbalannya Muhyiddin, Najib hilang Johor. Bermusuh dengan naibnya Shafie, Najib hilang Sabah.

“Bermusuh dengan Mukhriz, Najib hilang Kedah. Bermusuh dengan Mahathir, Najib hilang kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan gabungan yang berjaya pada PRU-15 bergantung kepada sejauhmana mampu mengawal musuh dan kawan.

“PRU15 kelihatannya tiada isu besar. Pemenang pastinya gabungan yang paling berjaya mengurangkan musuh dan menambah kawan.

“Pelik jika kita memilih haluan sebaliknya,” tegasnya.

Hasbie menjelaskan dalam politik, isu seburuk mana pun tiada apa-apa kesan jika musuh tidak bertambah dan kawan tidak berkurang.

“Musuh atau kawan membawa bersama segmen penyokong yang signifikan,” tambahnya.

Mengambil contoh Umno-BN, beliau berpendapat parti itu sedar dahsyatnya kesan menambah musuh.

“Sebab itu sekarang mereka sedaya upaya menambah kawan. Dengan parti yang pernah kafirkan mereka, mereka berkawan.

“Dengan parti yang kalahkan mereka dalam PRU termasuk dengan MP-MP yang melompat khianati mereka serta kelompok yang terpalit isu semburit pun mereka berkawan,” tempelaknya lagi.