Gabungan parti berbeza letak PH Kota Bharu dahului lawan, kata Husam

Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa merasmikan pementapan jentera PH parlirmen Kota Bharu.

Jentera kempen Pakatan Harapan (PH) Parlimen Kota Bharu berada di hadapan pihak lawan apabila berjaya menggabungkan empat parti yang berlainan latar belakang.

Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa bersyukur kerana proses menyatupadukan jentera kesemua parti dalam PH di Kelantan telah selesai dengan cemerlang,

“Di Kota Bharu kita telah selesaikan masalah parti-parti yang bakal bertanding.

“Dun Kota Lama kita peruntukkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) walaupun semua parti lain juga memohon untuk bertanding di situ.

“Dengan semangat tolak ansur dan setia kawan kita perlu bekerja keras untuk pastikan semua calon kita akan menang,” katanya di majlis pemantapan jentera PH Parlimen Kota Bharu di Bilik Operasi Pilihan Raya (BOP) Bunut Payong malam tadi.

AMANAH dan Bersatu katanya, akan mewakili pengundi Melayu yang berlainan ragamnya seperti yang diwakili Pas dan Umno sebelum ini.

“PKR pula mewakili golongan tersendiri dalam masyarakat yang cintakan keadilan dan kebenaran tetapi kurang sempat bergiat sebagai aktivis masyarakat.

“DAP pula walaupun sebuah parti untuk semua jelas ada pengaruh besar dalam kalangan bukan Melayu,” katanya.

Peranan DAP di Kelantan katanya, tetap penting walaupun tiada kerusi yang ditandingi parti itu kali ini.

“Kita sedar percubaan pihak tertentu yang berusaha membuat persepsi kononnya parti lain dalam PH hanyalah kuda tunggangan DAP.

“Kita tegaskan dalam PH tiada siapa kuda tunggangan siapa.

“Kemenangan kita adalah kemenangan rakyat,” katanya.

Memasuki kempen pilihan raya kata beliau, tiada lagi perbezaan antara parti dalam PH.

“Kalau satu kerusi kalah semua kita kalah, kalau kita menang kemengan adalah milik bersama.

Peserta program pemantapan jentera PH Parlimen Kota Bharu.

“Semua kita mesti memahami konsep gabungan yang dulu dibuat oleh Barisan Nasional (BN) sahaja.

“Sekarang PH berjaya wujudkan keadaan serupa di mana kita turun sebagai satu gabungan bukannya sebagai parti-parti berasingan,” katanya.

Pembahagian kerusi peringkat Dun di Kelantan katanya, telah selesai semuanya dan hanya menunggu pengumuman pimpinan tertinggi.

“Dengan itu pihak kita telah bersiap sepenuhnya untuk berhadapan pilihan raya bila-bila masa.

“Dengan jentera yang telah siap sedia ini, saya yakin dapat turun untuk mendapat keyakinan rakyat dengan cara yang paling berkesan,” katanya.

Lebih 300 pimpinan jentera peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) menjalani simulasi gerak kerja pilihan raya dan memperkemaskan arahan tugas di majlis itu.

4.0
OVERALL SCORE
2 user votes x 6.0