Malaysia Dateline

Logo Harapan

Gabungan Pas-Umno: PH perlu pendekatan lebih drastik

Salman Salleh

Pakatan Harapan diingatkan supaya pendekatan yang lebih drastik bagi memacu kebangkitan Malaysia Baharu yang lebih meyakinkan sekiranya keputusan yang bakal dibuat oleh Pas kebarangkalian parti itu untuk bergabung dengan Umno.

Setiausaha AMANAH Negeri Perak Salman Salleh berkata, AMANAH mengambil serius pendekatan muktahir Pas untuk bekerjasama atau bergabung dengan Umno sepertimana kenyataan terbuka oleh Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Perak Mohd Akmal Kamarudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri(Adun)Selama.

“Beliau (Mohd Akmal) yang juga menantu kepada Presiden Pas, seolah-olah memberikan ‘signal’ pendekatan yang bakal diputuskan dalam Muktamar Tahunan Pas minggu ini dan ianya cukup ‘bahaya’ kepada Pakatan Harapan jika usaha ini direalisasikan lebih awal setelah pasca Pilihan Raya Umum ke-14.

“AMANAH Perak akan bersedia dengan segala kemungkinan berlakunya tsunami politik Malaysia Baharu apabila dua parti yang berdekad bermusuhan ini akhirnya akan bersama setelah beberapa siri PRK baru-baru ini,” ujarnya yang merujuk kepada kerjasama politik Pas-Umno di PRK Dun Sungai Kandis dan Dun Seri Setia.

Beliau mengulas kenyataan dibuat Ketua Pemuda Pas Perak, Mohd Akmal Kamaruddin, semalam, mendedahkan sekiranya analisis yang dibuat parti itu mengambil kira trend pengundian ditunjukkan di PRK Dun Seri Setia dan Sungai Kandis, Selangor baru-baru ini, PH dijangka mampu mempertahankan sebuah negeri sahaja pada PRU15.

Namun Mohd Akmal berkata, kemenangan itu hanya boleh dicapai Pas atau Umno apabila berlaku kerjasama politik secara lebih serius di mana perlu berlaku perbincangan pembahagian kerusi ditandingi dua parti (Pas-Umno) itu.

Salman dalam kenyataannya juga berkata, harapan AMANAH Perak, dengan semangat kewujudan AMANAH sebelum ini perlu dipertegaskan bahawa menolak Umno dan Barisan Nasional (BN) adalah kerana kerakusan dan kezaliman yang telah menjadi sejarah yang perlu ditolak sama sekali dan bukannya ‘memberikan tongkat’ kepada mereka, katanya, yang turut menyeru agar ahli Pas beralih untuk menyokong AMANAH ataupun PH.