Malaysia Dateline

Gabungan Pro PH gesa polis tarik permit Himpunan 220220

Gabungan Memartabat Pejuang Negara (GMPN) hari ini membuat laporan polis terhadap satu Himpunan Bantahan 220220 yang dianjurkan oleh Gerakan Kuasa Rakyat untuk mendesak pembubaran parlimen pada 22 Februari ini.

Difahamkan, Himpunan 220220 itu akan diadakan di Dataran Merdeka yang mengemukakan 10 tuntutan dalam 100 hari janji Pakatan Harapan (PH) selain mendesak pembubaran parlimen oleh kerana kegagalan kerajaan menunaikan janji.

Presiden GMPN, Mejar Razali Zakaria, berkata, himpunan yang diadakan itu adalah tidak wajar dan menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas dengan menarik semula permit yang dikeluarkan oleh kerana ia boleh memburukkan imej reputasi kerajaan yang memerintah.

“Himpunan ini perlu dibatalkan oleh kerana ia membabitkan bantahan terhadap keputusan yang dibuat kerajaan.

“Kami juga mempertikaikan bagaimana himpunan yang dibuat untuk membantah kerajaan, boleh diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)?

“Sedangkan ketika kami memohon permit untuk mengadakan sambutan tahun baru, permohonan kami ditolak oleh kerana bimbang boleh mendatangkan masalah berhubung isu perkauman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, pagi tadi.

Turut hadir, badan gabungan Pakatan Harapan (PH) yang terdiri dari Pengerusi Skuad Prihatin Kuala Lumpur, Datuk Mohd Noor Ali Akhbar; Presiden Pertubuhan Pergerakan Pemulihan Huaxia Sedunia Malaysia, Cr. Gooi Sai Kaan; dan Pengerusi Ngo Harapan, Ustaz Asri Talib.

Sementara itu  beliau turut meminta pihak polis agar menyiasat DBKL dan bagaimana permit himpunan bantahan sedemikian boleh diluluskan.

Jelasnya, sekiranya bantahan terbuka terhadap kerajaan boleh dilaksanakan, maka pihak DBKL dan polis perlu bertindak adil dengan memudahkan badan bukan kerajaan lain yang ingin memohon permit untuk mengadakan program dan himpunan mereka.

“Ketika saya ingin membuat bantahan anti komunis, tak ada pula permit yang diluluskan. Mereka tak bagi. Bagaimana pula dengan himpunan membantah kerajaan ini?

“Mana logik permit sewenang-wenangnya diberi untuk mempertikaikan keputusan kerajaan. Bukan mudah nak dapatkan permit. Tp bila mohon permit membantah keputusan kerajaan, senang pula nak dapat

“Saya minta agar DBKL di siasat, kenapa keluarkan permit itu. Sikit-sikit mahu buat himpunan, kalau senang buat permit, bagi lah sama rata,” ujarnya.