Malaysia Dateline

Gabungan rasmi Pas, Umno, Bersatu bakal dimuktamadkan

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu partinya bersama-sama Umno dan PPBM bakal membentuk gabungan rasmi dalam masa terdekat.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, perbincangan antara tiga parti itu sedang berjalan dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

“Perbincangan dan muafakat agar pembentukan gabungan ketiga-tiga parti (Pas, Umno dan Bersatu) diwujudkan.

“Ia akan jadi kenyataan dalam masa terdekat,” dipetik FMT hari ini.

Dalam masa sama, beliau menolak dakwaan bahawa hubungan Pas dengan sekutunya Umno semakin dingin selepas menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN).

Kerjasama antara Pas-Umno, jelasnya, terus berjalan sehingga ke peringkat akar umbi, termasuk pembentukan jawatankuasa (JK) bersama.

“Hubungan antara Pas dan Umno terus berjalan, bahkan pembentukan JK bersama kawasan dan bahagian terus diwujudkan. Tidak timbul isu Pas ketepikan Umno atau sebaliknya,” ujarnya.

Beliau menambah Pas juga menjaga hubungan dengan Bersatu dalam PN memandangkan kerajaan PN didukungi oleh ketiga-tiga parti utama itu.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa Pas cuba meminggirkan Umno dan hubungan dua parti tersebut ketika ini semakin renggang selepas menyertai PN.

Terdahulu, Setiausaha Agung Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub mengakui hubungan parti itu dengan rakan sekutunya dalam MN, iaitu Pas semakin renggang sejak kebelakangan ini.

Mustapha berkata, perubahan itu berlaku apabila Pas mula mendapat tempat dalam kerajaan PN namun mengakui hubungan antara dua parti tersebut masih elok tanpa sebarang pertelingkahan serius.

Untuk rekod, Muafakat Nasional (MN) mulanya adalah kerjasama politik dua parti dominan Melayu Islam, Umno dan Pas yang ditubuhkan pada Himpunan Penyatuan Ummah, 14 September tahun lalu.

MN kemudiannya menerima surat persetujuan daripada Muhyiddin yang merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai gabungan itu, 18 Ogos lalu.

Pada masa ini, Umno mempunyai 39 kerusi Parlimen sekali gus paling banyak dalam blok kerajaan PN manakala Bersatu (31) dan Pas hanya 18 kerusi.

Bulan lalu, Setiausaha Agung Bersama Sekretariat MN, Tan Sri Annuar Musa berkata, perbincangan mengenai kemasukan Bersatu memerlukan draf memorandum persefahaman (MoU) dan piagam yang baharu, serta tidak boleh menggunakan kaedah sama dengan kerjasama antara Umno dan Pas sebelum ini.