Gabungan Sekretariat lancar tabung hantar video seks menteri ke AS

Gabungan Sekretariat lancar tabung hantar video seks menteri ke AS
Ariffin Abu Bakar (dua dari kanan) dalam sidang media yang diadakan hari ini.

Gabungan Sekretariat Ngo Malaysia hari ini melancarkan tabung bagi membiayai kos siasatan dan penghantaran video seks Menteri Kanan Kabinet ke makmal forensik di Amerika Syarikat (AS).

Presidennya, Ariffin Abu Bakar berkata, ini selaras dengan matlamat gabungannya untuk membuktikan tiada tangan-tangan ghaib yang terlibat sepanjang proses pembuktian video berkenaan.

Tambahnya, kelemahan kemajuan teknologi di Malaysia juga merupakan salah satu sebab pihaknya membuat keputusan untuk menghantar video tersebut bagi siasatan ke luar negara.

“Penghantaran video ini tidak melibatkan mana-mana parti politik dan kerajaan kerana apabila hasil yang dikeluarkan, kita dapat membuktikan kepada masyarakat Malaysia bahawa tiada tangan-tangan ghaib disebalik video berkenaan.

“Kami mahu lancarkan tabung ini setelah mendapat idea dari tabung harapan yang dilancarkan kerajaan untuk membayar hutang negara. Seperti yang dikatakan juga, negara kita belum ada potensi untuk melakukan forensik ke atas video.

“Kami akan berbincang dengan ngo kami yang pakar dalam bidang ini untuk menentukan keseluruhan kos yang diperlukan untuk proses penghantaran video berkenaan, dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media hari ini.

Walaubagaimanapun katanya, ia sama sekali tidak mengganggu tugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bukan satu usaha untuk menidakkan agensi dan tugas profesional pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan.

Katanya, perbincangan antara pihak ngo peguam akan dilakukan dalam masa terdekat sebelum memaklumkan kepada pihak polis untuk menghantar video berkenaan ke luar negara.

“Pada awalnya saya fikir akan bercanggah dengan tugas pihak polis dan kita tak nafikan PDRM mempunyai kelebihan dalam siasatan jenayah. Tapi apa yang kami buat, bertujuan untuk mencapai ketelusan. Jika pihak polis bagi keputusan sama macam kami, kami boleh buktikan pada rakyat Malaysia sememangnya tiada tangan ghaib yang membantu dalam pembuktian kes,”ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, wang yang terkumpul akan dikemaskini dan diumumkan dari masa ke semasa.

Orang ramai yang ingin menyumbang kepada tabung berkenaan, wang boleh disalurkan ke akaun 000 1659 10843, CIMB Bank, Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas).