Malaysia Dateline

Gabungan teknologi dan warisan daya penarik Perpustakaan Digital Kedah

Konsep yang menggabungkan elemen teknologi terkini dan seni warisan akan menjadi daya tarikan di Perpustakaan Digital Kedah (PDK), yang dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2021.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata tidak seperti perpustakaan biasa, PDK dibina di dalam bangunan warisan iaitu Memorial Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan konsep ‘perpustakaan dalam taman’, dan ini menjadikannya lebih unik serta mampu menarik ramai pengunjung.

“Kalau kita lihat sesetengah perpustakaan tidak minat untuk dikunjungi oleh orang ramai, tapi kalau lihat konsep baharu yang mencantumkan teknologi dan seni warisan ini, ia akan menjadi satu tarikan,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak PDK di memorial berkenaan di Jalan Menteri hari ini.

Beliau berkata pemilihan kawasan memorial berkenaan sebagai tapak PDK juga merupakan sesuatu yang sangat ideal kerana ia mampu menampung sehingga 500 pengunjung dalam satu-satu masa dan pihaknya sangat berharap projek bernilai RM15 juta itu akan berjaya seperti yang dirancang.

Katanya projek Kerajaan Persekutuan melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan sokongan kerajaan negeri itu merupakan ‘pemberian’ untuk rakyat yang sentiasa mendambakan pelaksanaan projek berimpak tinggi di Kedah.

“Saya yakin inisiatif bertaraf antarabangsa ini akan mendapat sambutan yang sangat baik bukan sahaja daripada rakyat negeri ini malah juga dari luar,” kata Lim.

Difahamkan pembangunan PDK melibatkan dua fasa iaitu fasa pertama untuk ubah suai bangunan sedia ada dengan mengekalkan warisan sejarah dan identiti Kedah.

Fasa kedua pula adalah pembinaan bangunan baharu antaranya melibatkan kafe, dewan, tempat kanak-kanak belajar dan tambahan ‘Business Reference Centre’ serta teknologi Sistem Video Assistant Referee (VAR) untuk membantu melihat tempat pelancongan di seluruh Kedah.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang turut sama dalam lawatan itu berkata pembinaan PDK diadaptasi daripada perpustakaan seumpamanya yang terdapat di Pulau Pinang.

Beliau berkata dengan adanya PDK, ia bukan sahaja akan menarik minat orang ramai untuk belajar mengenai sesuatu perkara, malah akan menjadi pemudah cara kepada sesiapa yang ingin mengendalikan penyelidikan bagi mendapatkan bahan rujukan.

— BERNAMA