Malaysia Dateline

Gabungan Tun M, Khalid mampu majukan Kampong Bharu

Gabungan kepimpinan antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad diyakini mampu berjaya membangunkan semula Kampong Baru.

Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan, Asmaaliff Abdul Adam berkata, kombinasi tersebut bakal menjadikan impian seluruh pemilik Kampong Baru menjadi kenyataan untuk melihat ia dimajukan, sekali gus menambah jumlah orang Melayu di ibu kota.

Beliau berkata, pembangunan kampung berusia 120 tahun itu juga memerlukan seorang pemimpin yang benar-benar fokus, nekad dan berpandangan jauh untuk melaksanakannya.

“Sesi town hall yang dilaksanakan pada 21 September baru-baru ini membuktikan bahawa kerajaan benar-benar serius untuk membangunkan kampung warisan Melayu tersebut.

“Draf plan pembangunan telah dibentangkan, tawaran harga telah diberikan dan suara penduduk, pemilik serta waris juga telah didengar.

Town hall berkenaan juga membuktikan bahawa YB Khalid dan Kementerian Wilayah sangat terbuka dan telus dalam agendanya untuk membangunkan Kampong Baru.

“Semua waris dan pemilik diberi ruang yang luas untuk memberi pandangan dan bertanya soalan, dan segala persoalan dijawab dengan profesional oleh Menteri sendiri,” ujarnya.

 

Asmaaliff Abdul Adam

 

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Malaysia Dateline sambil menyifatkan perkara itu sesuatu yang tidak pernah berlaku pada zaman kerajaan Umno-BN.

Dalam pada itu, Asmaaliff berkata, kerajaan telah memberi jaminan bahawa syarat tanah kampung tersebut akan dikekalkan menjadi milik orang Melayu.

“Bahkan dengan pembangunan yang dirancang ini, sebanyak 45,000 unit rumah mampu milik akan dibina, bermakna jumlah orang Melayu yang tinggal di tengah kota raya metropolitan ini akan bertambah berkali-kali ganda.

“Kegagalan kerajaan sebelum ini untuk membangunkan Kampong Baru menyebabkan ia tertinggal jauh di belakang berbanding kawasan sekitarnya yang pesat membangun.

“Ia sekali gus memberi imej yang buruk kepada kaum Melayu di Kuala Lumpur,” ujar Asmaaliff lagi.

Sejarah Kampong Baru sebagai kawasan penempatan orang Melayu terbesar di ibu kota bermula pada 1899, melalui tanah kurniaan Sultan Selangor ketika itu, Sultan Alauddin Sulaiman Syah Raja Muda Musa (Sultan Sulaiman).

Kampong Baru telah ditubuhkan oleh kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan negeri Selangor semasa rancangan pembangunan semula Kuala Lumpur daripada sebuah kampung lombong timah kepada sebuah bandar utama.