Gadis cantik lepasan SPM tak menang tangan gerai roti canai diserbu pelanggan selepas video tular

Oleh KIM SYAZIE

Rezeki terpijak! Begitulah perumpamaan terhadap seorang gadis yang berasal dari Kuantan ini selepas gerai roti canai yang diusahakan keluarganya tidak putus-putus dikunjungi pelanggan.

Jika dahulu mereka hanya menggunakan 10 kilogram tepung untuk menjual menu sarapan pagi itu, kini jualan di kedai ‘Roti Canai Abah’ itu mencecah dua kali ganda sehingga perlu menambah lagi 30 kg tepung.

Nor Syazwani Ab Ghani, 19, berkata, jualan roti canai telah meningkat kepada 1,000 keping setiap hari dan dia sangat bersyukur dengan kuasa tular yang membuka lagi pintu rezeki untuk keluarganya.

“Dulu kami hanya buat sekitar 10 kilogram (kg) tepung sehari, tapi selepas video tular, alhamdulillah, saya dapat lihat sambutan luar biasa daripada pelanggan sehingga perlu menambah 30kg tepung dengan jualan mencecah hampir 1,000 keping roti sehari

“Kuasa tular ini sangat membantu, dan saya percaya juga rezeki daripada ALLAH. 

“Tapi, tanpa adanya orang baik yang berkongsi video saya, mungkin saya tidak akan sampai pada tahap seperti ini. Jadi, terima kasih semua,” katanya menurut laporan Sinar Harian semalam.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 17 saat yang memaparkan Nor Syazwani menunjukkan kemahirannya menebar roti canai di akaun TikTok (Lilydeh).

Rakaman itu mendapat tontonan lebih 2.6 juta di TikTok dan dikongsi secara meluas di pelbagai platform lain. Kecantikannya dan kemahiran menebar roti canai memikat hati pengguna media sosial.

Susulan itu, pelanggan datang dari serata tempat untuk merasai sendiri roti canai yang dihasilkan oleh gadis cantik ini.

Baca juga: Ini tip nak simpan beras biar tahan setahun, tak perlu jemur atau simpan dalam peti ais dan guna 1 bahan je!