Gadis minta bomoh mandulkan kawan lelaki, kecewa duit dikebas dan hati dipermainkan

Oleh MALAYSIADATELINE

Siapa sangka, perasaan kecewa akibat ditinggalkan boleh menyebabkan seorang gadis hilang pegangan lalu menggunakan ilmu sihir untuk mencapai hasratnya.

Nekad membalas dendam, gadis yang tidak mahu dikenali itu mengakui hilang arah apabila hubungan rapat dibina bersama seorang pemuda terputus di tengah jalan.

Sedangkan, gadis itu telah banyak membantu pemuda berkenaan termasuklah dari segi kewangan sepanjang dua tahun mereka menjalinkan ‘persahabatan’ yang erat.

Rela berkorban segala-galanya, pemuda itu bagaimanapun mempermainkan hatinya dengan memilih wanita lain untuk dijadikan isteri dan juga teman hidupnya yang sah.

“Sudah hampir dua tahun dia bergantung dengan aku. Malah selepas dia bertunang, aku sempatlah menjauhkan diri. Tetapi dia yang kejar aku semula. Nak aku berada di sisinya lagi.

“Aku kenal dengan keluarga dia. Mula bantu dia sejak kami berkenalan termasuklah dari segi kewangan. Akhirnya dia pilih perempuan lain. Jadi, kalau aku tak dapat dia, orang lain pun sama,” katanya

Tidak mampu lagi mengawal perasaan, gadis itu akhirnya membuat keputusan untuk menyekutukan Allah dan menggunakan ilmu sihir pemisah kepada kawannya sendiri.

Meskipun sedar telah melakukan dosa yang besar, gadis tersebut tetap meneruskan perbuatan mungkar tersebut asalkan pemuda itu menganggung derita selamanya.

“Aku hantar sihir pemisah dekat kawan dan isterinya. Bagi memastikan dia menderita dengan lebih teruk, aku minta Tok (pengamal ilmu hitam) itu untuk memandulkan dia.

“Sebabnya, hajatnya menikah adalah untuk mendapatkan anak. Aku tahu ini dosa besar. Tetapi aku rasa sakit dipermainkan.” Kongsi gadis itu meluapkan amarahnya.

Mengundang perbincangan hangat, gadis terbabit membuat perkongsian dalam sesi luahan hati di laman media sosial X tanpa perlu mendedahkan identiti sebenarnya.

Rata-rata pelayar X tampil memberikan nasihat supaya gadis tersebut terbuka hati untuk segera bertaubat dan memohon keampunan di atas perbuatan sihir tersebut.

Bukan itu sahaja, ramai juga individu berharap agar perkongsian berkenaan dijadikan iktibar untuk berhenti memberi harapan dan mempermainkan perasaan orang lain.

Baca juga: “Kakak ipar perli konon tak baik minta duit dekat anak, dia tak sedar suami dia berhutang puluh ribu dengan ayah”