Malaysia Dateline

Gagal 57 tahun tetapi salahkan PH, kata Chong

Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) diingatkan supaya jangan mengelirukan fakta apabila menyalahkan Pakatan Harapan (PH) atas kegagalan mereka membawa pembangunan ke Sarawak dalam masa 57 tahun terakhir ini.

Pengerusi PH Sarawak ,Chong Chieng Jen berkata, adalah tidak masuk akal bagi GPS dan SUPP untuk menyalahkan bekas pemerintahan PH selama 22 bulan kerana kekurangan pembangunan ketika berbanding mereka yang telah pun selama 57 tahun berkuasa di negeri ini.

Beliau menyentuh berkaitan kenyataan Presiden SUPP yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian yang menyalahkan kerajaan PH kerana telah membatalkan projek Hospital Petra Jaya.

Dr Sim mendakwa bahawa Hospital Petra Jaya akan mampu memuatkan 300 kapasiti tempat tidur tambahan semasa wabak ini, sekiranya PH tidak membatalkan projek itu pada 2018.

“Ini sangat biasa SUPP menyebarkan kenyataan tidak benar bagi menutup kegagalan mereka dalam 57 tahun terakhir ini.

“Projek Hospital Petra Jaya diluluskan 2011 dan projek telah dimulakan pada 2013.

“Projek ini dijadualkan selesai pada 2016 ketika masih di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN). Pada 2016, bekas Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Jamilah Hashim menyatakan bahawa projek Hospital Petra Jaya adalah projek yang sakit gara-gara 36 peratus ketinggalan daripada jadual asal, katanya yang juga merupakan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP Sarawak).

Tegas beliau, projek tersebut sepatutnya siap pada 2017 namun ditangguhkan lagi disebabkan kontraktor telah diperintahkan untuk membayar denda RM90,000 sehari.

“Ketika PH menjadi kerajaan di Persekutuan, kami menghentikan kontrak ini kerana menyedari bahawa projek itu terlalu ‘sakit’ untuk dapat diteruskan.

“Kontraktor yang terlibat dalam projek berkenaan telah didenda sebanyak RM9 juta serta dicadangkan untuk satu tahun lagi bagi menyelesaikan projek ini.

“Bagaimanapun, pada 2018, Jabatan Kesihatan Negeri dan Jabatan Kerja Raya Sarawak telah sebulat suara memutuskan dalam sebuah pertemuan di Kuching untuk menghentikan kontrak dan melantik kontraktor lain bagi meneruskan projek ini tetapi tiada kontraktor yang ingin mengambil alih,” ujarnya.

Justeru, beliau mempersoalkan mengapa kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang telah berkuasa selama setahun bersama dengan kerajaan GPS di Sarawak masih tidak dapat menyelesaikan projek terbabit.

“Sekarang anda menyalahkan PH kerana menghentikan projek itu. Dan Dr Sim harus ingat bahawa anda juga berada pada mesyuarat tersebut untuk bersetuju menghentikan kontrak berkenaan.

“Projek ini dimulakan pada 2013 dan menjadi projek yang sakit pada 2017 dan pada 2018 Dr Sim bersetuju menghentikan kontrak tetapi sekarang mengapa menyalahkan kerajaan PH?” soal Chong.

Sehubungan itu, beliau menasihati SUPP untuk berfikir dua kali sebelum menentukan kegagalan BN dan GPS dalam 57 tahun kebelakangan ini jika dibandingkan pemerintahan PH selama 22 bulan.

“Adalah sangat dangkal dan tidak masuk akal. Oleh itu, jujurlah pada diri dan rakyat Sarawak dan jangan hanya pandai bercakap,” katanya lagi.