Malaysia Dateline

Tony Pua

Gagal bayar IPIC bukti aset dana pelaburan 1MDB tidak wujud

Syarikat pelaburan kedua negara yang dirundung masalah, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkemungkinan besar terpaksa diselamatkan kerajaan ekoran kegagalannya melangsaikan hutang mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, tiada satu pun bank tempatan mahupun antarabangsa mahu menguruskan satu-satunya aset dana pelaburan dalam bentuk ‘unit’ yang dimiliki syarikat berkenaan.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) sebelum ini mendedahkan bahawa dana pelaburan dalam bentuk ‘unit’ itu adalah palsu.

“Ia direka bagi menutup penyelewengan lebih US$1 bilion daripada dana 1MDB ke Good Star Limited yang sepatutnya digunakan untuk melabur ke dalam syarikat Petrosaudi International Limited,” kata Tony dalam satu kenyataan.

Malah tambah Pua, BSI Singapura yang sebelum ini menjadi pemegang amanah (custodian bank) bagi ‘unit’ tersebut telah dikenakan tindakan pembatalan lesen oleh kerajaan Singapura dan diarahkan supaya menutup operasinya.

“Mana-mana bank, sama ada di Malaysia mahupun antarabangsa tidak akan mahu mengendalikan penjualan dana pelaburan palsu dalam bentuk unit milik 1MDB itu.

“Kerana mana-mana pihak yang didapati menguruskan dana berkenaan mempunyai risiko dikenakan tindakan atas kesalahan pengubahan wang haram,” katanya dipetik Roketkini.

1MDB yang kini sarat hutang, pada dua hari lepas, dilaporkan gagal membuat sebarang pembayaran kepada firma Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co (IPIC) sejumlah RM2.58 bilion seperti yang dipersetujui dalam perjanjian penyelesaiaan.

Ia adalah jadual pembayaran pertama dari 1MDB kepada IPIC, manakala urus niaga kedua dengan jumlah yang sama perlu dibayar pada 31 Disember tahun ini menjadikan keseluruhan hutang yang perlu dibayar adalah RM5.16 bilion.

Dana pelaburan dalam bentuk unit yang kononnya dimiliki 1MDB itu menjadi perhatian berikutan dilihat sebagai salah satu cara yang boleh membantu syarikat terbabit membayar kembali hutangnya kepada IPIC.

Mengulas perkara berkaitan, Tony berkata, keputusan Speaker Dewan Rakyat menolak usul Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berhubung isu berkenaan untuk dibahaskan hanya bertujuan menjaga ‘air muka’ Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dihalau keluar dewan oleh Speaker Dewan Rakyat berikutan tindakan beliau memprotes penolakan usul berkaitan 1MDB.