Malaysia Dateline

Gagal berfungsi lawan Covid-19, J-KOM patut dimansuhkan

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) patut memansuhkan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dan menyalurkan peruntukan besar unit propaganda tersebut sebanyak RM40.5 juta kepada usaha melawan Covid-19.

Menurut Ahli Parimen Bukit Mertajam Steven Sim antara faktor yang dinyatakan oleh Reporters Sans Frontieres (RSF) berkaitan kemerosotan kedudukan Malaysia ialah penubuhan semula jabatan propaganda kerajaan JASA yang kini dijenamakan sebagai J-KOM

“Jabatan ini telah diberikan peruntukan sebanyak RM85.5 juta dalam Belanjawan 2021, namun kemudiannya telah dikurangkan kepada RM40.5 juta setelah mendapat tentangan hebat Ahli Parlimen pembangkang serta rakyat Malaysia.

“Antara kritikan terhadap J-KOM ialah jabatan tersebut menjadi senjata politik mensasarkan wakil rakyat pembangkang dan pihak yang tidak sehaluan dengan kerajaan.

“Negara kita tidak memerlukan jabatan sedemikian. Sebaliknya, kita perlu mengembleng tenaga dan sumber melawan Covid-19 serta membantu rakyat yang berdepan cabaran ekonomi, bukan menyerang musuh politik PN,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Steven, J-KOM yang dimurnikan sebagai unit penerangan kerajaan setakat ini tidak mampu berfungsi dengan cekap untuk menyampaikan maklumat dan menyebarkan kesedaran tentang Covid-19.

“Contohnya, ketika semua pihak termasuk parti-parti dan wakil rakyat pembangkang turun padang mempromosi serta mendaftarkan peserta untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), apakah sumbangan J-KOM dalam aspek ini?

“Jika ada sekalipun, ternyata J-KOM gagal. Menurut laporan kerajaan sendiri, kadar pendaftaran PICK adalah amat perlahan dan amat rendah,” katanya.

Setakat 23 April 2021, iaitu dua bulan selepas pendaftaran PICK bermula, beliau berkata, hanya 9.2 juta daripada 26.7 juta penduduk Malaysia yang disasarkan telah berdaftar.

“Ini bersamaan dengan hanya 38% sasaran KKM. Kerajaan sendiri mensasarkan 70 hingga 80% penduduk Malaysia untuk divaksin bagi mencapai keberkesanan PICK,” ujar beliau.

Selain itu katanya J-KOM juga gagal menyebarkan kesedaran tentang SOP Covid-19 sehingga menyebabkan pihak polis terpaksa menggunakan kaedah hukuman sehingga RM10,000 waima ke atas institusi seperti sekolah dan masjid.

“Saya telah berulang kali menekankan bahawa SOP Covid-19 perlu dikuatkuasakan melalui kesedaran dan pendidikan dan bukan hanya menggunakan pendekatan hukuman.

“Malangnya kegagalan kerajaan dalam aspek penerangan, SOP yang sentiasa berubah-ubah, tidak jelas, serta mengelirukan dan pelaksanaan SOP secara antara dua darjat, menyebabkan kegagalan mematuhi SOP dan peningkatan kes Covid-19,” tegasnya.