Malaysia Dateline

Gagal beri teladan, Pemuda AMANAH Terengganu saran Menteri Agama letak jawatan

Zamir Ghazali

Pemuda AMANAH Terengganu merasakan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) itu, disahkan positif Covid-19 pada semalam.

Ketuanya Zamir Ghazali berkata, ini kerana Zulkifli hanya mengikut keputusan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang ketika itu memutuskan bahawa orang ramai tidak perlu kuarantin apabila pulang dari Sabah.

Namun menurutnya, adalah menjadi contoh yang baik kepada semua jika Zulkifli bersedia melepaskan jawatan sebagai tanda permohonan maaf kepada rakyat Malaysia di atas kecuaian dan kegagalan menunjukkan teladan baik pada masyarakat.

“Apabila Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi sebelum ini melanggar arahan kuarantin dan terlepas dengan hanya membayar denda sebanyak RM1,000, ia seterusnya menjadi kes duluan kepada para pemimpin dan menteri untuk alpa dalam mematuhi SOP (prosedur operasi standard).

“Rakyat takut dengan denda penguatkuasaan tegas terhadap mereka apabila beberapa individu dijatuhi hukuman dan ada dipenjara.

“Rata-rata rakyat akur dengan pematuhan SOP selain kerana merasa kebertanggungjawaban untuk mengekang penyakit ini.

“Namun berbeza bagi golongan menteri, kes duluan pelanggaran SOP ternyata membuka ruang untuk lebih ramai alpa,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Sebentar tadi, Zulkifli memuatnaik hantaran di Twitternya yang sekali lagi memohon maaf dari lubuk hatinya atas insiden yang berlaku.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas orang ramai menyelar tindakan Menteri Perikatan Nasional (PN) itu yang gagal menjalani kuarantin selama 14 hari selepas pulang dari Sabah, selain menghadiri pelbagai program di beberapa negeri.

Zulkifli turut menyifatkan tempoh masa diberikan sebagai peluang untuk beliau bermuhasabah dan meneliti ruang penambahbaikan.

Sementara itu, Zamir menegaskan peletakan jawatan menteri berkenaan boleh memberi nafas baharu yang menunjukkan kerajaan hari ini masih ada kebertanggungjawaban dan bermaruah.

“Dan jawatan Menteri Agama adalah sisi terbaik untuk melakukan hal itu,” katanya lagi.