Gagal hadir ke mahkamah, EXCO Terengganu kena waran tangkap kes petisyen pilihan raya

Oleh KIM SYAZIE

Kegagalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah untuk hadir ke mahkamah akhirnya membawa padah.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Mohd Nor kerana gagal hadir memberi keterangan perbicaraan Petisyen Pilihan Raya bagi Parlimen Marang.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya.

Peguam pempetisyen, Muhammad Amin Othman memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong.

Hassan ketika prosiding kelmarin (Selasa) mengarahkan Mohd Nor hadir semula ke mahkamah hari ini untuk menyambung memberikan keterangannya lapor Berita Harian.

Bagaimanapun, Mohd Nor gagal hadir ke mahkamah dan perbicaraan bagi petisyen pilihan raya Marang akan disambung pada 19 Mac ini.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 12 Februari lalu menolak bantahan awal yang dikemukakan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Hadi dikatakan mahu membatalkan petisyen keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Marang yang difailkan calon Barisan Nasional.

Hassan kemudian menetapkan 6 hingga 21 Mac sebagai tarikh perbicaraan penuh bagi petisyen berkenaan.

Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.

Petisyen membabitkan tiga Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas telah menyogok pengundi.

Pas dikatakan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Baca juga: Tak dapat penuhi jemputan ceramah, Ustaz Kazim Elias dedah tiada tauliah di Selangor