Malaysia Dateline

tian chua

Gagal hadir pengurusan kes: Mahkamah keluar waran tangkap terhadap Tian Chua

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Naib Presiden PKR, Tian Chua kerana gagal menyerahkan pengurusan kes rayuannya atas sabitan dan hukumannya di bawah Akta Hasutan 1948.

Hakim Mohd Sofian Abd Razak berkata pada 26 Oktober, mahkamah telah memaklumkan agar pihak Tian Chua  hadir untuk pengurusan kes pada hari ini.

Namun katanya, Tian Chua dan peguamnya tidak hadir tanpa memberi sebarang sebab sedangkan kehadiran adalah wajib kerana ini membabitkan kes jenayah.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 18 Januari depan sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya.

Pada 28 September tahun lalu, Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 54, dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM1,800 selepas didapati bersalah mengucapkan kata-kata menghasut semasa forum di Kuala Lumpur dan Selangor di Dewan Perhimpunan Cina, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur pada 13 Mei 2013 jam 11.15 malam.

Ahli Parlimen Batu itu didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948.