Gagal ikut pelan induk, Bandar Baru Tunjung jadi ’empangan’

Gagal ikut pelan induk, Bandar Baru Tunjung jadi ’empangan’

Kegagalan pelaksanaan pembangunan Bandar Baru Tunjung menepati pelan induk terutama pembinaan longkang dan saliran menyebabkan kawasan itu ditenggelami air.

“Projek ini kini menjadi empangan menyebabkan banyak kampung dan kawasan perumahan sekitar Bandar Baru Tunjung ditenggelami “bah darat” sejak semalam, ” kata penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa.

Menurutnya secara tradisi, tapak Bandar Baru Tunjung sekarang adalah ’empangan’ yang mengumpulkan limpahan air dari kampung sekitar abila hujan lebat.

“Empangan umpama lautan itu seterusnya mengalirkan arus menerusi Sungai Lubuk Mulung ke Sungai Seribong dan aliran yang lebih besar melalui Sungai Pengkalan Datu.

“Kini, tapak ’empangan’ yang mengumpulkan air limpahan kampung-kampung sekelilingnya telah ditambak dan terus ditambak.

“Sedikit pun tidak memikirkan saliran yang mencukupi untuk mengalirkan air di musim tengkujuh sebagai ganti ’empangan’ yang telah ditimbus,” katanya.

Banjir di kawasan sekitar akibat sistem aliran air yang tidak sempurnaMenurutnya lagi, projek autocity Bandar Baru Tunjung menghalang air dari Kampung Pendek, Gaung dan sekitarnya dari mencari jalan keluar.

“Paras air menjadi tinggi. Bah 2014 menyebabkan kampung-kampung yang tidak pernah tenggelam, pertama kali mengalami paras air yang tinggi.

“Begitu pula Kedai Mulung, Tiong, Batu Empat, Kg Jelutung, Kg Baru dan lain-lain, sekian kalinya tersumbat terus,” katanya.

Beliau turut mempersoal projek tambakan yang tidak menyediakan laluan air yang sempurna.

“Mana laluan air yang disediakan oleh Bandar Baru Tunjung?

“Mana pelaksanaan atas master plan asal?

“Kenapa biarkan Auto City ditambak tanpa laluan air yang mencukupi?” soalnya.

TAGS