Isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mematuhi notis pengisytiharan harta.
Antara 12 harta yang gagal diisytihar adalah termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Menurut Harian Metro, tertuduh, Na’imah, 67, tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan sebaik jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.
“Ya (tidak mengaku bersalah), saya minta bicara,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Mengikut pertuduhan, Na’imah didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 November 2023.
Notis tersebut dihantar kepada beliau oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023.
Harta tersebut adalah:
- Menara Ilham, dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd;
- Dua kenderaan mewah jenama Mercedes Benz;
- Dua rumah di Persiaran Bukit Tunku dan Jalan Anthinahapan, Taman Tun Dr Ismail (TTDI);
- Empat lot tanah pegangan bebas di Bukit Tunku dan satu lot tanah, masing-masing di Pulau Pinang dan TTDI.
Kesalahan itu dilakukan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 13 Disember 2023 mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM100,000, jika sabit kesalahan.
Sebelum in media melaporkan, Ahmad Feisal memohon mahkamah menetapkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin.
Ahmad Feisal turut meletakkan syarat tambahan iaitu melaporkan diri ke ibu pejabat SPRM sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam Na’imah, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin memohon jaminan lebih rendah sebanyak RM250,000 selain membantah penyerahan pasport kepada mahkamah atas alasan anak guamnya bukanlah seorang flight risk.
“Na’imah bukanlah terbabit dengan sebarang kes jenayah yang menjadikannya flight risk dan beliau tinggal (kediamannya) di belakang mahkamah ini sahaja.
“Na’imah tidak akan ke mana-mana dan dia berada di sini untuk melawan kes ini,” katanya.
Azura membenarkan Na’imah diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai, selain menetapkan 22 Mac ini untuk sebutan semula kes.
Baca juga: Tak pernah lulus atau lesenkan kegiatan Quantum Metal, ini penjelasan BNM