Malaysia Dateline

Gagal kawal inflasi, kumpulan pelajar ugut protes di jalanan Sabtu ini

Susulan rasa kecewa terhadap kerajaan yang gagal menangani masalah inflasi, sekumpulan pelajar mengancam untuk turun ke jalan dan melakukan protes.

Jawatankuasa Turun yang menganjurkan protes itu berkata, mereka tiada pilihan lain selain turun ke jalan raya bagi memberi amaran kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan Malaysia agar tidak meremehkan masalah yang sedang dihadapi rakyat.

Menerusi pemakluman yang diberi, mereka akan berhimpun di kompleks beli-belah Sogo di Kuala Lumpur, Sabtu ini pada jam 2 petang.

Kumpulan itu menyatakan kekecewaannya kerana setelah 22 hari perdana menteri mengumumkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, pasukan itu gagal memberi buah fikiran baharu untuk mengawal kenaikan harga barang serta menyalurkan bantuan kepada rakyat.

Mereka berkata, pengumuman perdana menteri untuk meningkatkan bantuan kepada rakyat Malaysia sebanyak antara RM50 dan RM100 juga tidak memartabatkan maruah rakyat Malaysia yang terpaksa mengikat perut untuk memastikan anak-anak di rumah tidak kelaparan.

Susulan itu dalam protes tersebut mereka akan menyatakan lima tuntutan iaitu antaranya mahu gaji menteri dipotong; mengekalkan subsidi; mengawal harga barang; mengagihkan bantuan kepada rakyat; dan menyelesaikan isu keselamatan makanan.

“Kita tidak mempunyai pilihan selain turun dengan satu suara supaya masalah ini tidak diremehkan oleh perdana menteri dan menteri-menteri lain. Kita mengajak rakyat Malaysia yang bersependapat dengan lima tuntutan ini untuk turun bersama,” kata kumpulan pelajar itu.

Sementara itu mereka berkata, pada saat rakyat ditekan dengan gaji yang rendah dan harga barang yang semakin tinggi, menteri masih disajikan dengan gaji antara RM64,000 sehingga RM90,000 sebulan.

Di Sabah, wakil-wakil rakyat mengambil keputusan untuk menaikkan gaji mereka ketika rakyat biasa tidak mempunyai gaji yang bermaruah.

“Ini menunjukkan bahawa sebahagian besar ahli-ahli politik tidak berpijak di bumi yang nyata. Semua lawatan antarabangsa jemaah menteri harus dihentikan sehingga masalah kos sara hidup yang menghimpit rakyat selesai,” tegas mereka yang turut memberitahu bahawa setakat hari ini perdana menteri telah mengunjungi 11 buah negara.

Baca juga: Kecoh parcel dilelong tanpa kebenaran, rupanya kurier ada hak lelong jika tidak dituntut lebih 6 bulan?

Baca juga: Ramai remaja perempuan belasan tahun ‘dm’ beritahu berzina banyak kali, ini pengakuan Ustaz Fathi Naim

Baca juga: Tiket konsert Dewa 19 licin dalam tempoh sejam, ustaz Pas tegur kenapa majlis ilmu percuma tak rasa teruja?