Malaysia Dateline

Gagal kekang inflasi: Ismail digesa bubar Pasukan Jihad Tangani Inflasi pimpinan Annuar Musa

Tekanan kepada Perdana Menteri Datuki Seri Ismail Sabri Yaakub semakin kuat ekoran kegagalan kerajaan mengekang inflasi dan mengawal nilai Ringgit.

Semalam, Ahli Parlimen Kapar menyifatkan ia kegagalan Ismail selaku perdana menteri manakala hari ini, Ismail digesa membubarkan pasukan Jihad Tangani Inflasi yang diketuai oleh Annuar Musa.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri harus membubarkan Jawatankuasa Khas Kabinet Pasukan Jihad Tangani Inflasi yang diketuai Annuar Musa kerana tidak berkesan, tidak cekap dan tidak relevan untuk membendung kenaikan harga.

Ini berikutan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) buat kali ketiga berturut-turut tahun ini sebanyak 25 mata asas daripada 2.25% kepada 2.5%, dengan tujuan utamanya untuk membendung inflasi.

Pasukan Jihad Tangani Inflasi gagal dan ia perlu dibubarkan.

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataannya berkata, BNM menyifatkan tekanan inflasi yang tinggi disebabkan oleh harga komoditi yang tinggi dan pasaran buruh yang ketat, “walaupun keadaan rantaian bekalan global semakin bertambah baik,” kata Guan Eng.

BNM juga memberi petunjuk bahawa kenaikan dalam OPR tidak dapat mengawal penyusutan nilai ringgit yang jatuh ke paras terendah sejak Januari 1998 pada 4.505, yang dipengaruhi oleh kenaikan kadar faedah agresif Rizab Persekutuan AS pada skala yang jauh lebih besar daripada yang mampu diambil oleh Malaysia.

“Inflasi dilihat oleh BNM sebagai masih cukup serius untuk mewajarkan kenaikan OPR walaupun terdapat risiko yang wujud dalam mengorbankan pertumbuhan ekonomi dan usaha pemulihan COVID-19 bagi separuh kedua tahun ini dan meningkatkan kos pinjaman untuk individu dan perniagaan.

“Menaikkan OPR bererti menafikan secara menyeluruh dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Pasukan Jihad Tangani Inflasi Annuar Musa bahawa inflasi dan kenaikan harga makanan semakin terkawal, sebagai slogan politik semata-mata yang tidak berasas,” kata Ahli Parlimen Bagan itu dalam kenyataannya.

Bagi Pengerusi DAP itu, BNM secara tidak langsung mengenepikan usaha anti-inflasi Annuar Musa sebagai tidak memberi sebarang kesan dengan indeks harga pengguna meningkat sebanyak 4.4% pada Julai berbanding 3.4% pada Jun 2022, bulan pertama Annuar dilantik sebagai Pengerusi.

Memandangkan BNM kini bergantung kepada pendekatan monetari dengan menaikkan kadar faedah untuk menangani inflasi, maka tidak ada keperluan dan kepentingan untuk mengekalkan Jawatankuasa Khas Kabinet Pasukan Jihad Tangani Inflasi, katanya.

“Jawatankuasa Khas Kabinet sebegini hanya akan berperanan sekiranya ia dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri.

“DAP menggesa rakyat Malaysia yang terkesan dengan kenaikan 0.75% OPR tahun ini daripada 1.75% kepada 2.5% untuk menyatakan berapa banyak jumlah tambahan yang mereka perlu bayar bagi pinjaman mereka setiap bulan,”kata beliau.

Namun begitu, Annuar Musa tidak bersetuju dengan pandangan Lim Guan Eng.

Katanya, peranan yang dimainkan Jawatankuasa Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bukan berlegar pada Kadar Dasar Semalaman (OPR) sahaja, sebaliknya turut memberi perhatian kepada harga barang keperluan rakyat.

Justeru, Annuar berkata gesaan Pengerusi DAP Lim Guan Eng supaya jawatankuasa itu dibubarkan kerana kenaikan OPR jauh tersasar dari fakta sebenar.

Selain itu, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata dalam mekanisme mengawal inflasi, kadar OPR sesebuah negara itu juga perlu dirujuk kepada OPR negara lain dan tidak berlandaskan kepada satu negara semata-mata.

“OPR ini diletak satu badan mengawal dasar kewangan di negara (ini) dan tidak boleh dicampuri jawatankuasa seperti mana yang diwujudkan untuk menangani inflasi… tidak boleh dicampur tangan politik dalam membuat keputusan, ada kawalan undang-undang, seluruh dunia menggunakan piawaian sama,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke empat pos kawalan keselamatan di sini hari ini.