Malaysia Dateline

Gagal laksana tugas: Pengerusi SPR disaran letak jawatan jika bermaruah

Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR),  Datuk Abdul Ghani Salleh didesak meletakkan jawatan selepas gagal melaksanakan tugas dan mandat rakyat serta kerajaan untuk membolehkan Undi18 dilaksanakan Jun 2021.

Ini kerana, Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang mewakili rakyat dan kerajaan telah meluluskan usul untuk membolehkan Undi18 dilaksanakan secara sebulat suara.

“Ia bukan sahaja kegagalan untuk mematuhi mandat Parlimen untuk membolehkan rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas mengundi dalam PRU akan datang tetapi juga contoh yang paling jelas SPR tidak cekap dan tidak patuh keputusan untuk membolehkan semua rakyat Malaysia yang mencapai umur 18 tahun boleh mengundi selepas lebih dua tahun usul itu diluluskan,” kata ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

Bagi ahli Parlimen yang antara paling lama berkhidmat itu, keputusan SPR menangguhkan pelaksanaan Undi18 termasuk pendaftaran pemilih secara automatik kepada tahun depan tidak boleh diterima sama sekali.

“Abdul Ghani sepatutnya mempunyai intergriti dan bermaruah untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi SPR kerana kegagalannya untuk memenuhi keputusan Parlimen,” kata veteran DAP itu.

SPR semalam memaklumkan pendaftaran pemilih secara automatik dan kelayakan pengundi 18 tahun dijangka dapat dilaksanakan selepas 1 September 2022.

Pengerusinya, Abdul Ghani berkata, tempoh tersebut setelah menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR.

“SPR ingin menjelaskan bahawa persiapan ke arah pelaksanaan tersebut masih berjalan dan dalam tindakan sewajarnya.

“Ini termasuklah gerak kerja seperti pembangunan sistem, semakan dan penyelarasan data, program libat urus susulan bersama agensi kerajaan, parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) serta persiapan-persiapan lain yang berkaitan dengannya.

“Walau bagaimanapun, SPR bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Ini secara langsung menjejaskan perancangan dan persiapan SPR,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.