Malaysia Dateline

Gagal laksana Undi 18, PN didakwa cabul Perlembagaan

Biro Undang-Undang Parti Amanah Negara (KANUN) berpendapat kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka melaksanakan undi 18, sekaligus mencabul peruntukan Perlembagaan yang telah dipinda.

Pengerusi Kanun, Dr Zulqarnain Lukman melahirkan rasa hairan sama ada kerajaan hari ini begitu lemah dan daif sehingga tidak mampu untuk menguruskan hal-hal teknikal berkaitan perlaksanaan kelayakan mengundi 18 tahun.

“Apakah institusi seperti SPR begitu lemah untuk bekerjasama bagi mensinergi data dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan membuat persiapan untuk penambahan pegawai SPR yang bertugas semasa hari mengundi?

“Oleh kerana kerajaan PN yang ada ini tidak berhasrat untuk mempertahankan Perlembagaan seperti mana yang dikehendaki dalam sumpah sebelum seseorang menjawat jawatan Menteri, maka Kanun menyeru semua rakyat Malaysia untuk menolak kerajaan PN ini dalam PRU15,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, pindaan pendaftaran undi 18 telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini dan telah diwartakan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 (Akta A1603).

Bagaimanapun seksyen 1(2) Akta A1603 menyatakan bahawa penguatkuasaan pendaftaran pemilih secara automatik dan undi 18 akan melalui proses pewartaan kuatkuasa oleh Agong (atas nasihat kabinet).

Pada masa sama, Kanun mengingatkan bahawa perlembagaan adalah undang-undang tubuh Malaysia dan mana-mana pihak yang membelakangkan perlembagaan, patut dilucutkan jawatan mereka.

KANUN turut memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk ‘campur tangan’ dalam hal ini dan memanggil Menteri Undang-Undang serta Pengerusi SPR bagi memastikan kedaulatan Perlembagaan tetap terpelihara.