Malaysia Dateline

Gagal libatkan Sabah Sarawak, SEKAT mahu kerajaan tangguh laksana Jawi

Gabungan Seni Khat Action Team (SEKAT) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk segera menangguh dan melakukan perbincangan semula dengan pihak berkepentingan bukan Islam tentang pelaksanaan tulisan Jawi di sekolah-sekolah.

Kordinator Sekretariat SEKAT, Arun Dorasamy berkata, Jemaah Menteri dan KPM gagal memberi penjelasan munasabah akan isu pengenalan Jawi tersebut yang dilihat ia dilakukan secara tergopoh-gapah tanpa perundingan dan penelitian holistik.

Katanya, dalam konteks ini, pihak berkepentingan terutama Sabah dan Sarawak telah diketepikan tanpa apa-apa perbincangan dan sesi dialog secara bersama.

“Pengenalan Jawi dilihat tiada peranan langsung dalam memperkasakan penguatkuasaan Bahasa Malaysia dalam kalangan kaum, malah ianya adalah satu tempiasan dari fokus asal matlamat.

“Mereka kena jelaskan soalan kami. Kenapa kena laksanakan pada tahun 2020. apa yang kita akan rugi jika kita tangguhkan pelaksanaan ini setahun lagi? Sedangkan jika kita dapat berdialog melibatkan pihak berkepentingan dari Sabah dan Sarawak, ia lebih baik.

“Kami akan buat memorandum kepada KPM dan kabinet mengenai isu ini. Pasukan SEKAT akan buat jelajah ke Sabah dan Sarawak, di mana kita nak berdialog dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan golongan berkepentingan untuk mendapatkan maklumbalas mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina, Jalan Kampung Attap, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden Persatuan Anak Borneo Semenanjung (ABS), Ling Sanggau; Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) Wilayah, Shashi Kumar; Pertubuhan Aduan Rakyat Malaysia (PAR), Datuk A. Chandrakumanan.

Tambahnya, Bahasa Malaysia seharusnya mencerminkan ciri-ciri kepelbagaian kaum, dan tidak harus diguna pakai untuk menonjolkan ketuananan sesuatu bangsa sahaja.

Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang dilihat terburu-buru memperkenalkan pelaksanaan Jawi dalam keadaan KPM masih belum ada tatacara perlaksanaan dan bahan pengajaran yang teratur dan lengkap.

“Kami sebulat suara sentiasa bersetuju jika kerajaan mahu memperkasakan pengusahaan Bahasa Malaysia di sekolah-sekolah kerana itu yang lagi penting untuk majukan rakyat Malaysia kita yang masih tidak mahir dalam penguasaan bahasa.

“Malah, pelajar-pelajar Muslim telah pun diajar Jawi melalui kelas agama di sekolah dan melalui sekolah agama secara standardnya di seluruh negara. Jadi ia tak ada sebab untuk kenalkan Jawi sebagai subjek wajib lulus terutama pada golongan pelajar bukan Islam,” katanya

Sementara itu, Sanggau berkata, pihaknya sama sekali tidak menyokong pelaksanaan Jawi terutama di sekolah-sekolah pedalaman Sarawak oleh kerana majoriti pelajarnya merupakan kaum Dayak dan bukan bergama Islam.

“Mewakili Sarawak, saya lebih menyokong pandangan Ketua Menteri Sarawak yang mahukan pelajar di negeri itu menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik berbanding belajar tulisan Jawi.

“Sebagai anak jati Sarawak, kita berbagai bangsa dan agama. Saya minta KPM menangguhkan pengenalan ini terutama di Sekolah Kebangsaan di luar bandar yang kebanyakannya teridiri daripada anak Dayak bukan Islam,” ujarnya.