Malaysia Dateline

Gagal menulis Kudeta Tanpa Darah, susun buku kedua AMANAH

Ahmad Lutfi Othman
Ahmad Lutfi Othman

Ketika Parti Amanah Negara (AMANAH) ditubuhkan, saya sudah terlantar uzur. Masa banyak di pembaringan dan rutin rawatan, kualiti penglihatan terjejas teruk. Sekadar memerhati dari jauh, sambil mengimpikan dan memohon doa agar parti Islam ini berdaya maju, berpengaruh dan berintegriti tinggi. Baik berperanan sebagai oposisi mahupun di posisi kerajaan, harapnya AMANAH dapat memikul tanggungjawab dengan cemerlang.

Tidak terjangka dalam usia semuda itu, AMANAH berdepan caci-maki dan kata nista daripada rakan-rakan dalam bahtera lama. AMANAH bersama ‘grand coalition‘ Pakatan Harapan (PH), mendapat kepercayaan rakyat dalam PRU14 untuk mentadbir negara, memulihkan tanahair dan memimpin pembaharuan. Perdana Menteri meraikan semua komponen parti secara hampir seimbang tanpa mengambil kira sangat bilangan kerusi Parlimen yang dimenangi. Tiada konsep abang besar dan parti yang tertinggal dalam misi besar pentadbiran PH.

Saya hanya mampu, sesekali, melontarkan pandangan melalui lakaran pena.

Terdahulu menjelang hari mengundi Mei 2018 saya menyusun buku kecil, Mengapa Mahathir?, didorong oleh semangat untuk mempengaruhi penyokong tradisi pembangkang agar dapat menerima Dr Mahathir Mohamad sebagai ketua barisan pembangkang untuk menumbangkan regim BN-Najib Razak.

Lebih awal daripada itu, saya berjaya menyusun buku tentang Parti Amanah Negara, menyimpan dan merakamkan gelora rasa senario politik serba mencabar dan tidak menentu. Majlis peluncurannya diadakan di sebuah hotel di Ampang. Seorang sahabat karib, kenalan lama UTM, membiayai kos program tersebut. Alhamdulillah hampir semua pemimpin utama AMANAH dapat hadir. Teman dari PKR (Saifuddin Nasution) dan DAP (Liew Chin Tong) turut bersama menjadi penalis membicarakan buku itu.

Sebenarnya, meskipun boleh digolongkan sebagai penyokong tegar parti masa depan ini, saya sebenarnya belum menganggotai AMANAH. Saya juga belum ada kesempatan menghadiri program-program besar parti. Kerap uzur ketika majlis-majlis utama seperti konvensyen tahunan berlangsung; lebih selesa mengikutinya melalui siaran ‘Facebook live‘. Saya agak beruntung apabila sesekali dikunjungi oleh pemimpin dan aktivis parti; dapat juga mendengar perkembangan semasa AMANAH khususnya berdepan cabaran pergolakan politik semasa.

Terima kasih buat mereka yang sudi menziarahi saya di rumah, wad hospital ataupun pusat dialisis. Sekurang-kurangnya hubungan saya tidak terputus dengan dunia luar di kala upaya pembacaan saya turut terhad. Namun begitu, ia tentu tidak sama dengan turun sendiri ke lapangan, merasai degup jantung lingkungan yang serba dinamik itu.

Dengan masa sihat-segar yang cukup terbatas, saya dinasihatkan agar memilih keutamaan, khususnya topik atau tema penulisan. Ada rakan-rakan mencadangkan agar saya mengurangkan tumpuan terhadap isu- isu politik yang dilihat begitu memenatkan (malah meloyakan). Mereka memberi contoh “permainan kuasa” elit politik sehingga kerajaan mandat rakyat dapat diruntuhkan. Semakin tipis perbedaan sokongan kepada kerajaan, maka semakin terbuka potensi membeli undi dan mengikat kesetiaan. Dan semua itu memberi risiko besar kepada gejala korupsi dan salahguna kuasa. Natijah akhirnya rakyat juga yang merasai bahananya apabila sumber negara yang sedia terhad itu dihanguskan kepada wakil rakyat yang menjadikan sokongan pengundi sebagai komoditi berharga.

Jujur mengakui saya turut terlintas – banyak kali juga – untuk meneroka bidang baru penulisan. Bukan hanya letih untuk mengikuti dari dekat pergolakan politik, isu-isu yang tercetus juga membosankan. Sebagai pengulas, yang cuba menawarkan analisis, kita harus meneliti setiap perkembangan agar laporan nanti nampak seimbang dan menyeluruh. Jangan sampai pembaca lebih mendalami liku-liku pergolakan berbanding penulis. Ada sahabat memberi pandangan, tak perlu menghayati takah-takah kronologi, “tulis apa yang terlintas dalam minda, orang nak baca idea, sudut pandang atau apa yang hang rasa saja, bukan ringkasan cerita yang berlaku”.

Ada logiknya juga pendapat itu tetapi pengalaman kewartawanan yang agak panjang menyuntik rasa resah jika mengambil mudah proses penulisan. Lagi pun saya tidak pernah terlatih dalam genre kreatif. Daya imiginasi dan renungan saya tidak cukup kuat. Bahasa saya juga tidak cukup indah, memikat dan menawan seperti rakan-rakan sasterawan. Tambahan pula, saya sudah di penghujung julai usia, tak termampu untuk mengalih bidang atau memulakan disiplin baharu penulisan. Sebanyak mana pun kekangan dan hambatan, pengalaman lebih tiga dasawarsa dalam kerjaya penulisan politik tentunya telah mendarah-daging. Boleh mempengaruhi khalayak dalam misi amar makruf nahi mungkar.Ia juga menjadi medium perjuangan yang punya kepuasan peribadi tersendiri. Mungkin sedikit penyesuaian boleh dibuat, khususnya untuk meningkatkan kualiti dan berharap agar ia menjadi bekal kubur nanti. Tema yang lebih abadi tentang skop kehidupan yang cukup luas, mencakupi audien lebih ramai.

Saya pernah berusaha menghasilkan buku tentang kematian dan ujian siri penyakit, berdasarkan pengalaman peribadi. Namun sering tergendala. Ada-ada saja halangan sehingga banyak deraf awal bab buku berkenaan hilang begitu sahaja. Sejak uzur serius, saya tidak mampu lagi menggunakan komputer personal. Saya lebih selesa dengan gajet tablet kerana penglihatan yang sering kabur-silau masih mampu menangkap abjad. Kekurangan tablet, mudah sangat bahan-bahan hilang daripada simpanan. Mungkin saya sendiri lemah dalam teknologi berkaitan.

Untuk masa terdekat, antara topik yang sering menjemput saya kembali menulis buku adalah pengalaman singkat AMANAH. Boleh sahaja dianggap sambungan kepada buku pertama dahulu. (Hasrat saya awalnya – lebih kurang dua bulan lalu – untuk menyiapkan buku yang sudah tersedia judulnya, Kudeta Tanpa Darah, sebagai sambungan Revolusi Tanpa Darah. Sekali lagi ia terbengkalai).

Sebenarnya saya masih belum menganggotai parti Islam yang progresif itu. Mungkin juga keahlian saya dalam Pas masih sah dan belum terbatal. Bagaimanapun jiwa dan perasaan saya dekat dengan AMANAH. Pendekatan dan jatidiri parti berkenaan, selain perwatakan dan kecenderungan para pemimpinnya terlihat sederhana, harmonis dan sejuk mata memandang. Biarpun menempuh pelbagai hadangan, daripada kawan apatah lagi lawan, saya rasa langkah AMANAH serasi (atau sekurang-kurangnya mudah difahami) dengan nurani saya. Situasi pasca keruntuhan kerajaan PH banyak menimbulkan kontroversi dan polemik, namun sikap politik AMANAH terutama dalam usaha merebut balik Putrajaya, menggamit sokongan saya.

Justeru, berbekal sisa-sisa tenaga yang uzur ini, saya (bersama rakan-rakan) bertekad untuk menghasilkan satu penelitian lebih menyeluruh mengenai AMANAH. Doakan saya agar mampu melakukannya. Moga Allah mengilhami idea-idea yang baik dan menganugerahkan kekuatan. Sumbangan buah fikir amat dialu-alukan.