Malaysia Dateline

Gagal sampaikan maklumat berimbang jika sekatan diterima sebagai ‘norma baru’

Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengkritik tindakan melarang wartawan membuat lipuran perbicaraan mahkamah terhadap anak sulung Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid, serta pasangannya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff semalam.

Dalam kenyataannya, Geramm menegaskan bahawa semua wartawan mempunyai hak yang sama dengan mana-mana orang awam untuk berada di dalam ruang mahkamah bagi tujuan membuat liputan seperti termaktub dalam Seksyen 15 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Dalam kes ini, terdapat orang awam lain yang dibenarkan untuk berada di ruang mahkamah sehingga selesai sidang.

“Geramm percaya status pasangan tersebut yang boleh dikatakan berpengaruh tidak seharusnya menjadi pertimbangan dalam apa-apa keputusan yang diambil,” katanya.

Semalam, sekurang-kurangnya lima wartawan yang hadir sejak awal pagi di Mahkamah Majistret Putrajaya untuk liputan pendakwaan ke atas Nurulhidayah dan Saiful Nizam kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah diarahkan keluar dari ruangan sidang itu tanpa diberikan alasan yang jelas.

Mengulas lanjut, Geramm memberitahu akibat halangan tidak berasas itu pihak media terpaksa memperoleh maklumat daripada Timbalan Pendakwa Raya bertugas setelah selesai sidang pendengaran sedangkan maklumat itu boleh didapati secara terus.

“Jika sekatan terhadap sumber maklumat utama diterima sebagai satu ‘norma baru’, wartawan akan semakin terdedah kepada risiko kesilapan fakta atau kegagalan menyampaikan maklumat yang berimbang,” tegas Geramm lagi.

Nurulhidayah, 41, dan Saiful Nizam, 49, masing-masing didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya selepas mengaku bersalah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka bergerak dari Kajang menuju ke Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya iaitu dari satu kawasan berjangkit ke satu kawasan berjangkit di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

Majistret Shah Wira Abdul Halim menjatuhkan hukuman itu selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan serentak oleh jurubahasa mahkamah.