Malaysia Dateline

Gagal tangani Covid-19: Pas anggap pembangkang gila berpolitik, berada di planet lain

Pas lantang menyelar dakwaan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal menangani penularan pandemik Covid-19 yang kini semakin terus meningkat.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap pihak pembangkang gila berpolitik dan seperti bukan berada di planet bumi.

Bahkan, Ahli Parlimen Marang itu menganggap Pakatan Harapan (PH) sebagai bernafsu tinggi untuk kembali berkuasa.

“Hanya mereka yang masih gila berpolitiking membuat kenyataan bahawa Malaysia sudah gagal menangani wabak Covid-19, seolah-olah mereka berada di planet lain bukan di alam bumi.

“Hal ini disebabkan oleh nafsu politik angkuh mereka terlalu tinggi dan sangat rakus mahu berkuasa, sehingga mendabik dada dalam menyelesaikan masalah seperti apa yang dijanjikan dalam manifesto PRU-14 dahulu,” katanya menerusi Minda Presiden Pas.

Untuk rekod, minggu lalu juga, Hadi menegaskan pandemik politiking gila untuk berkuasa semula masih menjalar penularan wabaknya sehingga tidak mempedulikan wabak Covid-19 yang mengancam nyawa rakyat.

“Mereka masih ingin mengaku boleh menyelesaikan semua masalah dalam sekelip mata sahaja, sehingga sanggup merempuh keadaan paling mencabar yang masih dihadapi oleh mereka yang berada di barisan hadapan,” katanya hari ini.

Kenyataan terbaharu Hadi ini ketika negara mengalami peningkatan mendadak kes Covid-19 sehingga terdapat hospital di Selangor tidak cukup katil untuk menempatkan pesakit.

Lonjakan kes Covid-19 terutama di Selangor berlaku walaupun kerajaan PN melaksanakan darurat di seluruh negara sejak awal tahun ini.

Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) juga dilihat amat perlahan dengan Selangor antara negeri terendah kadar vaksinasi.

Setakat semalam, hanya 23 peratus populasi penduduk Selangor mendapat vaksinasi dos pertama iaitu lebih rendah daripada Sarawak (49 peratus) dan Perlis (31 peratus) walaupun penyumbang terbesar kes Covid-19 dikesan di Selangor.