Gagal tunai manifesto, konflik dalaman penyumbang kekalahan PH dalam PRK, kata Pas

Gagal tunai manifesto, konflik dalaman penyumbang kekalahan PH dalam PRK, kata Pas

Kegagalan menunaikan janji manifesto dan konflik dalaman Pakatan Harapan (PH) yang menunjukkan persaingan kuasa untuk menjatuhkan Perdana Menteri adalah faktor empirikal yang menyumbang ke arah kekalahan PH.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata kelemahan pentadbiran yang menyumbang kepada krisis keyakinan dalam kalangan pengundi merupakan akibat yang perlu ditanggung oleh parti kerajaan itu.

“Setelah 11 bulan PH mentadbir negara, keputusan PRK Rantau adalah tamparan hebat yang ditunjukkan oleh rakyat.

“Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 4,510 undi dan peratusan tertinggi keluar mengundi (79.3%) dalam 7 siri PRK setakat ini, adalah satu mesej besar yang ditunjukkan rakyat kepada PH.

“BN turut memenangi 13 daripada 14 Pusat Daerah Mengundi. Malah, sokongan pengundi India dan Cina telah meningkat secara drastik kepada BN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kemenangan tiga kali berturut-turut di pola pengundian serta demografi berbeza telah menunjukkan satu pencapaian yang terbaik untuk BN.

Katanya, Pas optimis dengan kerjasama politik yang dibentuk setakat ini dimana ia mencerminkan aspirasi baharu rakyat untuk menundukkan keangkuhan PH.

Oleh itu, Pas tidak harus leka dan mesti memberikan fokus untuk terus membina keampuhan parti kerana kerjasama politik adalah salah satu uslub dan sentimen rakyat juga tidak kekal.

“Pas hendaklah sentiasa bermuhasabah, meneruskan kerja rutin jama’ah dan memberdaya kualiti. Amanah kepimpinan khususnya di Kelantan dan Terengganu mesti dipelihara agar menjadi model pentadbiran Islam yang terbaik.

“Elakkan berada dalam zon selesa sebaliknya tumpu kepada ruang-ruang yang perlu diperbaiki,”ujarnya.