Gagasan politik baru Malaysia melalui Amanah

Tidak syak lagi bahawa gagasan yang dibawa oleh Parti Amanah untuk bertanding baik di Sarawak mahupun di dua pilihan raya kecil di Semenanjung – Sungai Besar dan Kuala Kangsar – adalah dimensi politik baru Malaysia.

Iaitu dalam erti ia mewakili suatu gabungan parti politik pembangkang – Pakatan Harapan – yang mampu berdepan menghadapi Umno/BN yang memerintah Malaysia sekian lama. Adapun parti politik lain, yang tidak di dalam Pakatan Harapan, tidak mungkin mampu berdepan dengan Umno/BN.

Konsep yang dibawa oleh Amanah, seperti yang ditegaskan oleh calon Amanah di Kuala Kangsar, Prof. Dr. Termizi Ramli dalam ucapannya, ialah bahawa jika kita hendak melakukan perubahan politik, ekonomi dan sosial di negara ini, ia mesti dilakukan bukan saja oleh orang  Melayu, tetapi juga kaum Cina, India dan kaum- kaum lain.

“Ia mesti dilakukan melalui usaha bersama, atau pakatan bersama, baru boleh berjaya dan tentunya bukan bersifat perkauman,” kata beliau disambut gemuruh oleh oang ramai yang mendengar ceramahnya.

Konsep inilah, katanya, yang hendak dilakukan oleh Amanah dan inilah mesej yang hendak dibawanya kepada para pengundi. Oleh itu, kata Dr. Termizi, semua pihak, rakyat Malaysia yang sedar, perlu menyokong usaha Amanah ini.

Beliau berpendapat kita boleh merobah suasana politik, ekonomi dan sosial di Malaysia yang kini penuh dengan rasuah, ketidak adilan, ketirisan, kepincangan ekonomi dan pelbagai penyelewengan dengan tindakan bersama rakyat berbilang kaum. Bukan berdasarkan perjuangan satu parti saja, atau satu kaum  saja, melainkan pelbagai parti dan rakyat menyertainya, katanya.

Pendapat bekas tokoh akademik ini memang tepat apabila beliau berkata bahawa kalau satu kaum saja hendak melakukan pelbagai perubahan, tidak mungkin berjaya.

Konsep inilah yang hendak diperjuangkan oleh Amanah melalui Pakatan Harapan dan beliau berharap mendapat sokongan dari rakyat berbilang kaum, bukan saja di Kuala Kangsar ini, tetapi juga di seluruh negara.

Parti Amanah adalah komponen Pakatan Harapan yang mengandungi PKR, DAP dan Amanah. Tiga parti pelbagai kaum yang sudah sangat berpengalaman berdepan dengan gejolak politik negara dan tahu benar kepincangan yang dilakukan oleh Umno/BN selama ini.

Sudah sampailah masanya rakyat Malaysia seluruhnya mengucapkan selamat jalan kepada politik perkauman dalam bidang apapun. Justru politik perkauman itu menentang jalannya demokrasi, malah ada ketikanya menentang kemanusiaan.

Politik baru Malaysia tanpa perkauman mencerahkan masa depan rakyat, berdasarkan merit, siapapun yang berusaha keras akan berjaya menikmati kehidupan yang selesa. Tidak ada perhitungan berdasarkan kaum. Dengan itu demokrasi hidup, kebebasan bersuara segar, hak asasi rakyat terpelihara.

Maka perhitungan sesuatu pilihan raya tidak lagi diambil kira berdasarkan berapa kaum, melainkan dikira sama rata. Ini akan mebolehkan rakyat memilih seorang calon bukan berdasarkan kaum, tetapi berdasarkan kemampuannya untuk melaksanakan tanggungjawab yang dipikulnya. Politik baru Malaysia inilah yang hendak diketengahkan oleh Amanah.

Walaupun ia berpaksikan Islam dengan mendukung konsep Islam Rahmatan Lil-Alamin, rahmat seluruh alam, iaitu ia melindungi semuam kaum dan agama. Inilah sebenarnya yang yang diajar oleh Islam seperti yang terpancar di dalam Al-Quran dan hadis.

Dalam hubungan ini, alangkah baiknya jika para pengundi Sungai Besar dan Kuala Kangsar memahami dan menerima kehadiran Amanah.

Jika mereka menyokong kehadiran Amanah, bermakna mereka menerima gagasan politik baru Malaysia, malah menjadi peneroka kepada gagasan baru ini.

COMMENTS

Wordpress (0)